KLUANG – Polis menahan seorang lelaki yang didapati memandu kenderaan secara melawan arus di susur masuk Persimpangan Taman Megah di sini, pada Rabu.Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan setelah pihak polis mengesan satu rakaman video berdurasi 24 saat yang tular di media sosial, memaparkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dipandu secara melulu."Kejadian didapati berlaku pada kira-kira jam 4 petang Isnin lalu di Kilometer (KM) 57.4, Jalan Batu Pahat – Mersing."Siasatan mendapati kenderaan itu keluar dari Taman Megah dan memotong masuk ke laluan bertentangan melalui susur masuk taman tersebut secara melawan arus untuk menghala ke Mersing walaupun terdapat kenderaan lain menggunakan laluan tersebut."Tindakan itu bukan sahaja membahayakan nyawa pemandu terbabit, malah hampir menyebabkan perlanggaran dengan sebuah lagi kereta yang sedang memasuki laluan sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.Tambah Bahrin, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, telah membuat tangkapan terhadap suspek pada hari yang sama untuk siasatan lanjut.Katanya, hasil ujian saringan air kencing bagaimanapun mendapati suspek negatif dadah."Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain."Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000," katanya.Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhemah dan bertimbang rasa ketika memandu, selain menyalurkan sebarang maklumat berkaitan insiden sama ke balai polis berhampiran atau IPD Kluang di talian 07-7784222 (telefon), 07-7784256 (talian terus), 07-7766822 (hotline) dan 014-3656822 (Tablet DCC), bagi membantu siasatan.