SHAH ALAM – Majoriti rakyat di negara ini menolak cadangan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru untuk mewujudkan kerjasama strategik bagi menempatkan jururawat dari negara itu bertugas di fasiliti kesihatan primer di Malaysia.Penolakan itu jelas apabila tinjauan yang dijalankan di empat platform media sosial rasmi Sinar Harian sejak semalam menunjukkan keputusan yang konsisten, sebahagian besar responden tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.Di platform Instagram, 91 peratus daripada 712 pengundi menolak cadangan itu manakala hanya sembilan peratus bersetuju.Undian di Facebook pula merekodkan 92 peratus tidak bersetuju dan hanya lapan peratus menyokong daripada 50 undian.Sementara itu, di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter), 81.8 peratus daripada 44 responden tidak menyokong cadangan tersebut, manakala hanya 18.2 peratus bersetuju.Tinjauan di YouTube Sinar Harian pula menunjukkan 71 peratus daripada 112 undian menolak cadangan berkenaan, berbanding 29 peratus yang menyatakan persetujuan.Secara keseluruhan, kesemua dapatan menunjukkan majoriti pembaca di semua platform berpandangan negatif terhadap inisiatif membawa masuk jururawat dari Indonesia untuk berkhidmat di Malaysia, khususnya dalam sektor kesihatan awam peringkat asas.Cadangan kerjasama itu sebelum ini dikemukakan oleh pihak KJRI Johor Bahru kepada kerajaan Malaysia, antaranya bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan.