SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyatakan kekesalan terhadap tindakan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta dan permohonan maaf daripada Naib Ketua AMK Malaysia, Nabil Halimi.Timbalan Ketua AMK Selangor, Mohamad Shahrul Adnan berkata, tindakan itu dilihat sebagai usaha membungkam suara anak muda yang berani menyuarakan pandangan dalam mempertahankan maruah negara.Menurutnya, teguran dibuat Nabil merupakan reaksi terhadap hantaran karikatur yang didakwa memperlekehkan usaha diplomatik Malaysia dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja."Rundingan itu dilaksanakan di bawah kepimpinan Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN dan membawa misi penting demi nama baik negara di peringkat antarabangsa," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.Beliau menegaskan bahawa dalam sistem demokrasi, kritikan terhadap tindakan yang boleh menjejaskan imej negara bukanlah satu jenayah atau fitnah, sebaliknya hak rakyat untuk bersuara demi mempertahankan integriti negara."Cubaan mengugut melalui tuntutan kewangan melampau hanya akan melemahkan budaya politik sihat serta memberi isyarat bahawa suara anak muda boleh dibungkam," ujarnya lagi.Tambahnya, AMK Selangor tidak akan berdiam diri hanya kerana individu yang ditegur itu bergelar Ahli Parlimen."Generasi muda hari ini tidak gentar menyatakan kebenaran dan akan terus menegur mana-mana pihak yang merendahkan peranan serta merosakkan imej negara."Kami berdiri teguh di belakang Nabil Halimi dan menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik untuk menolak budaya politik ugutan," ujarnya.Menurutnya lagi, AMK Selangor akan terus mempertahankan hak bersuara secara rasional, beradab dan berlandaskan kepentingan negara demi maruah Malaysia di mata dunia.