ALOR SETAR - Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena memberi amaran kepada DAP agar tidak mempolitikkan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah sekolah vernakular di Port Dickson baru-baru ini.Ketuanya, Mohd Farhan Ahmad berkata, tindakan memasang bendera kebangsaan secara terbalik di sebuah institusi pendidikan seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bukan isu kecil, malah satu penghinaan terbuka terhadap negara, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Kebangsaan.Menurutnya, teguran yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bukanlah satu penghinaan terhadap orang kelainan upaya (OKU) atau serangan ke atas individu tertentu, sebaliknya satu peringatan kepada pihak berwajib agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga simbol negara."Amaran kami kepada DAP, jangan cabar semangat patriotisme kami. Jangan cuba politikkan isu bendera demi kepentingan politik sempit," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Beliau berkata demikian susulan tindakan segelintir pimpinan DAP yang dilihat cuba memesongkan isu sebenar dengan membangkitkan naratif simpati kononnya Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik itu dilakukan oleh seorang OKU."Inilah masalah apabila sesuatu yang salah cuba ditutup dengan sentimen. Ini soal tanggungjawab dan prinsip, bukan propaganda."Teguran tegas Muhamad Akmal adalah untuk mempertahankan maruah Jalur Gemilang namun ia dijadikan bahan serangan politik oleh pimpinan DAP. Apabila bendera negara dihina, kami tidak akan diam, jika pemimpin kami diserang kerana pertahankan negara, kami akan bangkit," katanya.Sehubungan itu, Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena menyatakan solidariti terhadap Muhamad Akmal yang kini berdepan serangan bertubi-tubi daripada DAP selepas menyuarakan isu tersebut."Dalam dunia politik hari ini yang semakin lesu dengan suara hipokrit, keberanian Muhamad Akmal menyuarakan kebenaran wajar dihargai, bukan dipijak."Pemuda UMNO akan terus menyokong beliau sebagai suara anak muda yang berani, berprinsip dan cintakan negara," katanya.Mohd Farhan turut membangkitkan persoalan, apakah DAP cuba melindungi pihak tertentu hanya kerana insiden tersebut."Adakah kerana lokasi kejadian berlaku di SJKC, isu ini harus didiamkan? Apa yang DAP cuba pertahankan sebenarnya?"Kami tidak menyerang mana-mana kaum atau golongan, kami hanya menentang sikap hipokrit dan angkuh dalam mempertahankan tindakan yang jelas bercanggah dengan semangat kebangsaan," ujarnya.Tambah beliau lagi, ini bukan isu remeh atau sengaja mencari salah sesiapa, ia berkaitan maruah negara."Jalur Gemilang bukan sekadar kain yang dikibarkan ketika perayaan, ia adalah lambang kedaulatan, kemerdekaan dan perpaduan negara."Ia juga simbol perjuangan tokoh-tokoh bangsa yang menuntut kemerdekaan dan membina Malaysia yang berdaulat," katanya.Menurutnya, jika situasi sama berlaku di negara jiran seperti Indonesia atau Thailand, tindakan tegas pasti sudah diambil."Namun, di sini, pemimpin muda seperti Muhamad Akmal yang lantang mempertahankan maruah negara, diserang oleh tohmahan DAP yang gemar memanipulasi isu demi kepentingan politik mereka," ujarnya.Pada Rabu, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Wilayah Persekutuan, Yap Yee Vonne mendesak Muhamad Akmal membuat permohonan maaf secara terbuka kepada DAPSY dan komuniti OKU susulan kenyataan yang didakwa menghina.Yee Vonne menyifatkan tindakan Muhamad Akmal itu memperlekehkan lelaki OKU yang terlibat dalam kontroversi Jalur Gemilang dipasang terbalik dan ia tidak sewajarnya berlaku.