SHAH ALAM – Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas tiga pertuduhan memiliki 205 pasport, MyKad kepunyaan tiga lelaki dan satu kad pengenalan palsu, bulan lalu.N Paarvathy, 41, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman.Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa ada dalam milikannya 205 pasport Malaysia.Dia dituduh mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang boleh dihukum bawah Seksyen 12(1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa memiliki kad pengenalan milik tiga lelaki berusia 19, 21 serta 31 tahun tanpa alasan yang munasabah dan satu kad pengenalan palsu atas nama seorang lelaki berusia 24 tahun.Semua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri, Taman Puchong Hartamas di sini pada jam 12.10 tengah malam 11 Julai lalu.Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut peraturan 25(1)(o) dan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin berjumlah RM30,000 bagi semua pertuduhan."Ia termasuk syarat tambahan melaporkan diri di balai polis terdekat, sekali setiap bulan," katanya.Bagaimanapun, peguam, Yogamani M Marappan yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan jaminan pada kadar minimum dengan alasan wanita itu tidak berkerja dan mengharapkan pendapatan suami."Dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri selain memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sejak siasatan dijalankan termasuk sepanjang 28 hari ditahan reman."Anak guam sedia memenuhi syarat tambahan berkenaan kerana tidak mempunyai sebarang hubungan dan tidak mengenali mereka," katanya.Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret, Muhammad Syafiq membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi semua pertuduhan.Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 September depan.