Jangan diskriminasi dasar tenaga kerja, UNI-MLC selar kenyataan Guan Eng

SHAH ALAM - Dasar tenaga kerja tidak wajar didiskriminasikan antara pekerja tempatan dan pekerja asing sama ada pekerja lama atau baharu, membuktikan Malaysia tidak menganak tirikan pekerja-pekerja asing yang sedia ada di negara ini.Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie Mammal berkata, kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang berhubung dasar gaji minima dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak perlu dilaksanakan kepada pekerja-pekerja asing sedia ada, dilihat kurang matang dan sangat memalukan.Menurutnya, Guan Eng sepatutnya tampil kehadapan untuk memberi sokongan supaya semua warga pekerja asing diberi layanan terbaik."Tidak wajar bagi Lim Guan Eng yang pernah menyandang jawatan Menteri Kabinet yang kononnya memperjuangkan golongan pekerja, tetapi menafikan perlindungan sosial paling asas kepada mereka yang melakukan kerja-kerja 3D (kotor, bahaya, sukar dan penting), hanya kerana mereka tidak dilahirkan di sini."Sepatutnya Guan Eng merasa bangga kerana Malaysia dibawah Kerajaan Madanui yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, Malaysia sentiasa memikirkan pembaharuan serta mengiktiraf hak pekerja serta kesejahteraan pekerja dengan mendapat gaji minima dan juga caruman KWSP."Jika kerajaan Malaysia mampu membuat sesuatu yang berbeza demi kesejahteraan pekerja-pekerja asing yang dianggap terbaik, ini juga satu penghormatan kepada mereka kerana mereka juga sebagai pekerja telah mencurahkan segala tenaga dan kepakaran demi membangunkan Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Guan Eng ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen pada Rabu berkata, Malaysia tidak wajib mengenakan dasar gaji minimum RM1,700 atau caruman KWSP 2 peratus ke atas pekerja asing yang telah pun diambil bekerja kerana tidak terikat dengan mana-mana konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).Menurut beliau, dasar gaji minimum dan caruman sepatutnya hanya terpakai kepada pengambilan pekerja asing baru kerana pekerja sedia ada telah diambil dengan terma yang berbeza.Mohamed Shafie berkata, beliau kesal dan kecewa dengan kenyataan Guan Eng yang didakwa dibuat tidak berlandaskan fakta."UNI-MLC berpendapat jika beliau tidak dapat menerima hakikat ini, jelas menunjukkan beliau membuat kenyataan mengikut emosi bukan mengikut fakta yang sedia ada."Dalam hal ini, Guan Eng mengaitkan dengan Standard ILO dan merendahkan tindakan berani dan tegas oleh kerajaan Malaysia dengan melaksanakan gaji minima dan caruman KWSP," ujarnya.