Majoriti rakyat mahu pilihan fleksibel, kekalkan kaedah pengeluaran KWSP sedia ada - Tinjauan

SHAH ALAM - Cadangan untuk menukar kaedah pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada sistem bulanan nampaknya masih belum meyakinkan majoriti rakyat.Pandangan mereka itu diterjemahkan menerusi satu sesi tinjauan pendapat pembaca Sinar Harian yang mula digerakkan di empat platform media sosial sejak semalam.Hasil tinjauan merangkumi ribuan responden mendapati majoriti pengguna media sosial lebih cenderung untuk mengekalkan kaedah pengeluaran sedia ada atau diberikan pilihan yang fleksibel berbanding pengeluaran secara bulanan tetap.Di Facebook, sebanyak 64 peratus daripada 1,174 pengundi mahu KWSP dikekalkan seperti sekarang, manakala 31 peratus memilih untuk diberi pilihan dan hanya lima peratus menyokong pengeluaran secara bulanan.Trend yang sama turut dilihat di YouTube, apabila 53 peratus daripada 227 responden mahu kekal dengan sistem sedia ada, berbanding 27 peratus yang menyokong cadangan diberi pilihan dan 20 peratus yang bersetuju dengan sistem bulanan.Menariknya, pengguna di platform X lebih terbuka terhadap pendekatan fleksibel, apabila 53.7 peratus daripada 123 undi memilih agar pencarum diberikan pilihan sama ada mahu mengeluarkan secara bulanan atau sekali gus.Hanya 7.3 peratus menyokong sistem bulanan, manakala 39 peratus mahu kekal seperti sekarang.Sementara itu, dapatan dari Instagram menunjukkan keputusan hampir seimbang antara dua pendirian, iaitu 48 peratus daripada 213 undi memilih diberikan pilihan fleksibel, 42 peratus mahu sistem dikekalkan, dan hanya 12 peratus menyokong pengeluaran secara bulanan.Secara keseluruhan, tinjauan ini menunjukkan rakyat lebih cenderung menolak pelaksanaan pengeluaran KWSP secara bulanan secara menyeluruh.Rata-rata pembaca Sinar Harian menuntut sama ada kerajaan mengekalkan sistem sedia ada atau memperkenalkan pendekatan pilihan fleksibel yang mengambil kira keperluan serta kebebasan pencarum.Tinjauan ini mencerminkan sentimen semasa rakyat yang semakin peka terhadap hak pengurusan simpanan persaraan mereka, apatah lagi selepas beberapa pusingan pengeluaran khas dibenarkan ketika tempoh pandemik Covid-19 sebelum ini.