SPRM tahan bekas pengurus syarikat negeri Melaka

MELAKA - Bekas pengurus pentadbiran sebuah anak syarikat kerajaan negeri direman dua hari bermula Khamis selepas disyaki menyalahgunakan kuasa membabitkan pembelian insurans kebakaran, empat tahun lalu.Perintah reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan oleh Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin terhadap suspek lelaki berusia 44 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini kira-kira jam 9 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM serta diiringi pegawai agensi berkenaan.Sumber berkata, penahanan suspek berkaitan dengan dakwaan bahawa dia telah mengesyorkan pelantikan isterinya bagi tujuan pembelian insurans kebakaran untuk anak syarikat tersebut."Suspek telah hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka pada jam 2.15 petang semalam sebelum ditahan bagi permohonan reman pada hari ini," katanya.Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan lelaki berkenaan.