SHAH ALAM - Hantaran 'stiker’ lucah dalam aplikasi sosial merupakan sebahagian daripada proses pengantunan (grooming) yang serius dan boleh membawa kepada kesalahan jenayah seksual fizikal seperti rogol dan amang seksual.Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, modus operandi pemangsa seksual selalunya bermula dengan mencipta hubungan yang nampak mesra sama ada sebagai peminat, rakan atau selebriti.Menurutnya, mereka biasanya akan menghantar 'sticker' lucah sebagai gurauan awal untuk menguji reaksi mangsa."Perlahan-lahan membina kepercayaan contohnya pujian, janji hadiah atau kata-kata manis."Kemudian, mereka (suspek) akan meminta gambar, video atau mengajak perbualan seksual. Semuanya dilakukan dalam ruang digital yang kelihatan peribadi seperti WhatsApp."Pemangsa sering menyasarkan kanak-kanak kerana golongan ini tahap kematangannya terbatas, jadi mereka sukar membezakan mana yang betul dan salah atau kesan dan akibat suatu perlakuan itu," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Beliau berkata, dalam kes seperti ini, beberapa kesalahan jenayah boleh disabitkan antaranya berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak yang disiasat di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.Jelasnya, situasi terbabit di mana apabila seseorang itu membuat hantaran sama ada dalam bentuk teks, imej pegun atau video yang berunsur seksual termasuklah 'sticker' lucah, tanpa ada hantaran balas oleh kanak-kanak berkenaan.Tegasnya, ibu bapa khususnya perlu mendidik anak tentang sempadan digital."Pantau aplikasi dan kenali siapa rakan digital anak dan usah anggap sticker lucah sebagai lawak biasa kerana ini pintu masuk kepada jenayah seksual."Jangan leka dengan persekitaran digital anak-anak kerana zaman ini jenayah berlaku tanpa sentuhan fizikal. "Stiker lucah yang nampak ringan itu boleh jadi permulaan kepada penderaan seksual," ujarnya.