Siling, lantai jadi keutamaan Belanjawan 2026

PUTRAJAYA – Perdana Menteri menegaskan Belanjawan Madani 2026 yang bakal dibentangkan Oktober ini akan digarap selari dengan hasrat dan kerangka besar Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), khususnya dalam aspek menaikkan siling dan lantai ekonomi rakyat.Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan program tahun pertama RMK13 perlu berpaksikan agenda reformasi menyeluruh, bukan sekadar menjurus kepada pertumbuhan dan pelaburan semata-mata, tetapi juga memberi penekanan kepada pendapatan rakyat."Saya fikir kalau kita bicara soal pertumbuhan dan pelaburan tetapi tidak memikirkan soal lantai, itu akan jadi masalah kerana harga barang tidak susut. Ia mesti naik sedikit."Kalau gaji itu naik setimpal atau lebih ia tidak akan menekan seperti mana yang dirasai oleh sebahagian daripada rakyat kita dengan kos sara hidup," katanya ketika sesi libat urus Belanjawan Madani 2026 di Kementerian Kewangan di sini, pada Khamis.Ujarnya, pelbagai program yang dirangka kerajaan juga memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat secara holistik melalui penglibatan masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC).Beliau menyambut baik kerjasama sektor korporat yang menunjukkan reaksi positif terhadap inisiatif seperti Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat, yang kini telah menyaksikan penyertaan lebih 1,000 buah sekolah."Kita cadangkan seribu sekolah diambil oleh syarikat swasta dan GLIC sebagai sekolah angkat. Setakat ini, satu ribu telah dikenal pasti."Kampung Madani pula diperkenal supaya syarikat yang ada cawangan di satu daerah mengambil beberapa kampung sebagai kampung angkat dengan melibatkan staf dan pengurusan mereka," jelasnya.Menurut beliau, pendekatan ini membolehkan syarikat turut terlibat secara langsung dalam usaha pembangunan komuniti, sekali gus memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan rakyat.Dalam masa sama, Anwar turut menyentuh tentang pelaksanaan program Sejahtera Madani yang memberi peruntukan sebanyak RM100,000 kepada setiap kampung Felda, kampung tradisi, desa serta kawasan miskin bandar.Katanya, pendekatan baharu itu membolehkan dana disalurkan terus kepada jawatankuasa kampung termasuk belia, wanita dan surau, bagi menentukan sendiri bentuk pelaburan yang sesuai."Ada kampung di pedalaman seperti di Parit Buta yang membeli dua unit dron."Pada awalnya saya bimbang tetapi setelah melihat sendiri, pelaburan itu membawa pulangan baik kepada kampung," katanya yang juga Menteri Kewangan.Beliau berkata, beberapa kampung turut menggunakan dana itu untuk projek penternakan ikan, kambing, lembu serta pembelian traktor, menunjukkan kebolehan masyarakat tempatan mengurus kewangan secara berhemah."Inilah percubaan pertama menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada jawatankuasa kampung. Ini bukan sekadar dialog antara kerajaan dan rakyat tapi penzahiran maksud sebenar Madani yang memberi makna dan tanggungjawab," katanya.Menyentuh isu perdagangan pula, Anwar turut mengulas perkembangan tarif semikonduktor yang sebelum ini dikecualikan namun kembali menjadi perhatian.Menurut beliau, kebanyakan syarikat terlibat adalah milik Amerika Syarikat (AS) atau telah menanam pelaburan di negara itu, justeru tidak terkesan secara langsung dengan perubahan tersebut."Cuma ada beberapa syarikat lain yang terkeluar daripada peraturan tarif tersebut seperti Infineon Technologies dari Jerman. Kita sedang pantau rapat," katanya.Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa sikap lunak AS terhadap Malaysia dalam isu tarif mungkin disumbang oleh peranan aktif negara membantu menyelesaikan konflik sempadan Thailand-Kemboja."Soal tarif sekali lagi syukur kerana sekurang-kurangnya dapat mencatat 19 peratus walaupun dalam perjanjian dan syarat-syarat itu kita lebih lumayan ketimbang beberapa negara lain."Ada beberapa hal yang tidak boleh kita berganjak tetapi dipersetujui oleh Presiden Donald Trump...Mungkin sebab kejayaan kita membantu menyelesaikan masalah Kemboja Thailand ini membantu melunakkan sikap mereka terhadap ini," katanya.TAMAT