[VIDEO] Walau tak berlatih di Eropah macam JDT, Imigresen FC yakin mampu bersaing

WALAUPUN tidak berlatih di luar negara seperti Johor Darul Ta‘zim (JDT), pendatang baharu Liga Super, Imigresen FC (IFC) tetap yakin mampu memberi saingan pada musim 2025/2026.Pasukan baharu di bawah Kementerian Dalam Negeri itu memilih Padang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Alor Setar sebagai lokasi latihan intensif sejak Julai lalu bagi persiapan menghadapi musim sulung mereka di Liga Super.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, IFC akan berpangkalan di utara tanah air bagi memberi peluang kepada peminat bola sepak Kedah dan Perlis menyaksikan aksi Liga Super lebih dekat dengan mereka."Ini penyertaan sulung IFC dalam Liga Super. Sementara kami meletakkan keyakinan mampu bersaing dalam saingan 12 pasukan, kami yakin penampilan pertama ini akan membuahkan hasil yang membanggakan, walaupun akan bertarung dengan pasukan-pasukan yang lebih mantap persiapannya."JDT misalnya, persiapan mereka di Eropah. Kita pula, persiapan di Padang MADA, tapi aksi 90 minit di padang – apa pun boleh berlaku. Inilah uniknya bola sepak tempatan kita," katanya pada malam Rabu.Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Pasukan IFC dan memperkenalkan barisan penaja di sebuah hotel di Alor Setar.Jelas Saifuddin Nasution, kelab tersebut hadir ssbagai pilihan baru buat peminat bola sepak di Kedah dan Perlis selepas dua pasukan negeri berkenaan tidak lagi beraksi di pentas tertinggi negara."Di Lembah Klang sudah banyak pasukan. Tapi di utara, Perlis dan Kedah yang pernah jadi kuasa bola sepak kini tiada wakil dalam Liga Super. IFC hadir sebagai pilihan baharu buat peminat di sini," ujarnya.Beliau berkata, IFC akan beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang buat sementara waktu, sementara menunggu kelulusan untuk menggunakan Stadium Darul Aman sebagai gelanggang rasmi.Menurutnya, Stadium Dato’ Syed Ahmad di Arau turut menjadi pilihan selepas kerja naik taraf selesai hujung tahun ini."Buat sementara, kami akan menulis (surat permohonan) kepada Stadium Darul Aman juga, sementara menunggu jawapan. Tapi kami kena buat persiapan dahulu."Liga Super berlangsung waktu malam, Liga A1 petang. Jadi tiada pertindihan jadual. Malah, ini boleh tingkatkan hasil stadium," jelas Saifuddin.Tambahnya lagi, IFC dibarisi pemain tempatan berpengalaman dari Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah dan Pahang, serta pemain import dari Myanmar, Iran, Brazil, Venezuela dan Australia."Saya beritahu Ketua Jurulatih Yusri Che Lah, jangan risau soal sasaran. Fokus bina pasukan. Tapi saya bisik juga, ‘empat teratas’. Tapi 'lima teratas' pun boleh," katanya berseloroh.Selain pasukan utama, IFC juga akan tampil dengan satu lagi pasukan untuk bersaing dalam Liga A1 Semi-Pro musim ini, dikenali sebagai Imigresen FC II.Beliau menyeru peminat bola sepak di utara agar terbuka menyokong pasukan baharu ini yang bakal mewarnai saingan bola sepak tanah air."Dalam era profesional, peminat bebas memilih pasukan. IFC adalah pilihan baharu untuk utara," katanya.