KLUANG – Dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan kerana disyaki memecah masuk sebuah kedai runcit di Ladang Nenas, Simpang Renggam, bulan lalu.Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang memaklumkan bahawa kedai runcit miliknya telah dipecah masuk pada jam 11 malam, 30 Julai lalu."Susulan kejadian itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dengan bantuan Balai Polis Simpang Renggam melancarkan Op Pintu dan berjaya menahan dua suspek."Kedua-dua suspek yang berusia 15 dan 23 tahun ditahan di Lorong 5, Ladang Nenas, Simpang Renggam pada jam 2 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Tambah beliau, semakan rekod menunjukkan kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau."Hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-duanya negatif dadah," ujarnya.Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Menurut Bahrin, kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan."Suspek pertama direman selama tujuh hari bermula Khamis hingga 13 Ogos, manakala suspek kedua direman lima hari bermula Khamis hingga 11 Ogos," jelasnya.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222, 07-7784256 (talian terus), 07-7766822 (hotline), atau 014-3656822 (tablet DCC).