Tiga individu didakwa atur seludup migran Sri Lanka

KLANG – [DIKEMAS KINI] Dua lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan mengatur penyeludupan seorang migran warga Sri Lanka, bulan lalu.Wanita terbabit, Janarthanan Appupillai, 46, dan G Santhiya Darshini, 27, yang merupakan warga tempatan, serta seorang lelaki warga Sri Lanka, Vtheewaran Palani, 48, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.Mereka didakwa bersama-sama mengatur penyeludupan seorang lelaki migran warga Sri Lanka dalam transit menerusi Malaysia melalui laluan udara di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 Julai lalu.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26C Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Sementara itu, di mahkamah sama, migran terbabit iaitu Antany Sujan Antany Ranjan, 21, didakwa atas satu pertuduhan memiliki pasport palsu atas nama orang lain bagi maksud memudahkan penyeludupan, pada tarikh dan lokasi yang sama.Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh tersebut kerana kes berkenaan juga berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 26E ATIPSOM 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 15 tahun dan denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol dan Norhidayah Abdullah Sani memohon supaya kes-kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam."Tiada jaminan ditawarkan dengan segala proses permohonan berkaitannya boleh dibuat di Mahkamah Tinggi nanti," katanya.Tiga tertuduh warga tempatan masing-masing diwakili peguam William Edwin, Donald Selvam dan C Surenthran, sementara Antany Sujan tidak diwakili peguam.Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan.