Usul undi tidak percaya PM: PN tunggu keputusan jawatankuasa Parlimen

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) belum membuat sebarang keputusan untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Sebaliknya, beliau berkata, perkara itu bergantung sepenuhnya kepada keputusan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen terhadap usul merujuk Anwar yang telah dikemukakan sebelum ini."Kita sudah ada langkah yang tersusun. Pertama, kita sudah bawa isu ini ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan melalui usul yang dikemukakan oleh Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan."Kita sedang tunggu respons daripada Speaker. Selepas itu, barulah kita pertimbang langkah seterusnya. Tak boleh terus lompat ke undi tidak percaya, sebab ada prosedur yang mesti dipatuhi," katanya dalam sidang media di Parlimen pada Rabu.Terdahulu, Takiyuddin telah menghantar usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bagi merujuk Anwar ke jawatankuasa berkenaan, susulan kenyataan beliau berkait bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta isu Pulau Batu Puteh.Dalam pada itu, Hamzah turut mengesahkan bahawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri masih dalam pertimbangan dan mungkin dihantar kepada Johari dalam masa terdekat.Minggu lalu, Anwar dilaporkan mencabar Hamzah untuk membawa usul tersebut ke Parlimen, sambil menyatakan beliau sudah menunggu selama tiga tahun usul itu dibentangkan.