PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan agar insentif khas diperkenalkan kepada pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang bertugas di sempadan negara.Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, insentif tersebut boleh menjadi dorongan serta motivasi kepada pegawai barisan hadapan untuk melaksanakan tugas dengan lebih bersemangat dan berintegriti tinggi."SPRM menyokong penuh cadangan ini kerana insentif mampu menjadi pemangkin semangat."Pada masa yang sama, ia dapat mengekang sikap sambil lewa dalam kalangan petugas barisan hadapan di sempadan negara," katanya.Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.Katanya, AKPS merupakan agensi baharu yang memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan negara."SPRM bersedia memberi bantuan sepenuhnya untuk memastikan matlamat bersama dapat dicapai."Beberapa isu melibatkan AKPS sememangnya telah berada dalam radar SPRM, namun penyelesaiannya agak mencabar. Dengan kerjasama yang bakal dijalinkan ini, kita yakin urusan tertangguh dapat diselesaikan dengan lebih lancar," katanya.Dalam pertemuan itu, kedua-dua agensi turut bersetuju untuk menjalinkan kerjasama strategik, khususnya dalam aspek operasi dan latihan bagi memperkukuh kawalan sempadan serta memantapkan integriti pegawai.Mohd Shuhaily berkata, pertemuan tersebut menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai langkah-langkah pencegahan rasuah."Pertemuan turut melibatkan perbincangan dalam usaha meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai yang bertugas di kawasan sempadan."Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh sistem kawalan sempadan dan membentuk barisan pegawai yang lebih berintegriti dalam melaksanakan tugas," katanya.Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AKPS, Datuk Sazali Mohamad; dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AKPS, Ismail Mokhtar.