SPRM wajar siasat PM kerana salah guna kuasa arah siasat Muhyiddin - Ahmad Fadhli

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan kuasa eksekutif apabila mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat penafian Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan kononnya beliau menyokong warga asing menerima subsidi minyak.Beliau berkata, tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu penyalahgunaan kuasa eksekutif yang serius kerana melibatkan campur tangan politik terhadap badan penguat kuasa yang sepatutnya bertindak secara bebas dan profesional.Menurutnya, penafian Muhyiddin tidak mengandungi sebarang unsur ancaman, penghinaan atau komunikasi tidak wajar yang boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)."Seksyen ini hanya terpakai terhadap penyebaran kandungan berbentuk lucah, palsu yang menyakitkan hati, mengugut atau mengganggu dan tidak meliputi penafian terhadap kenyataan politik yang dibangkitkan dalam Dewan Rakyat. SKMM bukan alat eksekutif dan tidak boleh diarah sewenang-wenangnya."Mengikut Seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589), SKMM hendaklah menjalankan fungsinya secara bebas dan tidak tertakluk kepada arahan mana-mana pihak, kecuali jika dinyatakan secara jelas dalam undang-undang."Maka, arahan lisan atau terbuka oleh Perdana Menteri terhadap SKMM berhubung perkara yang menyentuh pertikaian politik peribadi adalah tidak wajar dan menyalahi semangat kebebasan institusi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Arahan tersebut dikeluarkan pada Rabu selepas Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), menafikan pernah membuat kenyataan seperti yang didakwa, dan mencabar Anwar untuk mengemukakan bukti bahawa beliau mempertahankan warga asing dalam isu subsidi berkenaan.Dalam satu kenyataan berasingan, SKMM mengesahkan telah menerima arahan daripada Perdana Menteri dan memaklumkan akan mengambil tindakan segera.Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, arahan kepada SKMM untuk menyiasat kenyataan penafian yang bersifat politik boleh ditafsirkan sebagai penggunaan jawatan bagi memperoleh manfaat politik dan menekan pihak lawan.Ujarnya, tindakan itu berpotensi jatuh di bawah skop Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan awam bagi mendapatkan suapan atau manfaat.Tambahnya, tindakan Anwar itu juga boleh dilihat sebagai mencabuli hak Muhyiddin sebagai warganegara yang dijamin oleh Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak kebebasan bersuara."Malah, Perkara 8(1) menjamin bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang adil. Apabila agensi kerajaan digunakan untuk menyiasat individu atas kenyataan politik yang tidak melanggar undang-undang, maka asas keadilan dan kesaksamaan ini telah dinodai," katanya lagi.Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar membuka siasatan terhadap kemungkinan salah guna kuasa oleh Perdana Menteri di bawah Seksyen 23 Akta 694.Seksyen itu merujuk kepada kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.Ahmad Fadhli turut mencadangkan agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memanggil SKMM dan Pejabat Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan tentang asas serta justifikasi arahan terhadap Muhyiddin itu."Hakikatnya, jika ini bukan satu salah guna kuasa, apakah lagi nama yang sesuai? Malaysia adalah negara hukum."Tiada siapa, hatta Perdana Menteri sekalipun, boleh bertindak sesuka hati menggunakan agensi kerajaan untuk mendiamkan musuh politiknya. Tindakan ini mesti dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan," katanya.