SHAH ALAM – Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) mengecam tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang mengumumkan cadangan mewajibkan semua klinik swasta mengeluarkan preskripsi dan menyediakan bil terperinci bagi setiap rawatan.Presidennya, Dr G Shanmuganathan berkata, walaupun cadangan itu disampaikan sebagai dasar, namun penyampaiannya yang mengelirukan di Parlimen telah memberi kesan buruk kepada para doktor, termasuk kekeliruan arahan, gangguan operasi klinik serta mencabul kebebasan profesional pengamal perubatan."Tindakan tersebut dianggap sebagai satu pencerobohan terhadap bidang kuasa profesional doktor."Lebih mengecewakan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang turut menganggotai Majlis Tindakan Nasional Mengenai Kos Sara Hidup (NACCOL) gagal mempertahankan profesion perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Menurut beliau, kehadiran Menteri Kesihatan dalam mesyuarat NACCOL tanpa sebarang bantahan terhadap cadangan yang berada di luar bidang kuasa KPDN merupakan satu bentuk kecuaian serius, malah boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan."Kami ingin tahu, di manakah menteri ketika pegawai KPDN mula memeriksa klinik-klinik swasta?"Di manakah menteri ketika arahan memaparkan harga ubat dikuatkuasakan tanpa asas perundangan yang jelas? Kini, di manakah beliau ketika pengumuman NACCOL menyentuh cara doktor harus merawat dan mengenakan caj kepada pesakit?" soalnya.Jelas beliau, FPMPAM mengingatkan semua pihak bahawa NACCOL bukanlah badan pengawal selia dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menentukan kaedah amalan perubatan."Kami tegaskan bahawa preskripsi ialah alat klinikal, bukannya prosedur birokrasi."Bil terperinci atas permintaan pula telah pun termaktub di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHFSA)."Jika dipaksa dilaksanakan secara menyeluruh, ia hanya akan menyebabkan kos rawatan meningkat, bukan sebaliknya," katanya.Sehubungan itu, FPMPAM menuntut agar Menteri Kesihatan tampil membuat penjelasan rasmi berhubung kenyataan NACCOL dan mengesahkan bahawa hanya Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Perubatan Malaysia (MMC) yang mempunyai bidang kuasa untuk mengawal selia amalan klinikal di negara ini.Dr Shanmuganathan turut mendesak Menteri Kesihatan mengambil tanggungjawab untuk memulihkan kembali kepercayaan dalam kalangan pengamal perubatan."Kami juga menyeru semua badan perubatan termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Persatuan Klinik Swasta Malaysia (MPCAM) serta persatuan negeri untuk berdiri teguh menentang campur tangan politik dan birokrasi yang tidak sewajarnya," ujarnya.Beliau turut memberi peringatan tegas kepada Menteri Kesihatan agar tidak menjadi ‘penumpang’ dalam NACCOL, sebaliknya bertindak sebagai pelindung kepada sistem kesihatan negara."Jika menteri enggan bersuara demi doktor, maka kami sendiri akan bersuara, lantang, jelas dan tanpa kompromi."Kami bukan orang bawahan NACCOL. Kami penjaga amanah terhadap kesihatan rakyat dan tidak akan berdiam diri melihat profesion kami dihakis secara senyap," tegasnya.