KUALA LUMPUR : Pelaksanaan program “Pandasafe” oleh Foodpanda bertujuan menilai tingkah laku pemanduan melalui teknologi telematik bagi memupuk budaya pemanduan selamat dalam kalangan rider penghantaran. Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyatakan pendekatan ini mampu menggalakkan pengurusan risiko secara menyeluruh serta meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya. “Pandasafe menggunakan teknologi telematik untuk menilai cara tunggangan dan bekerjasama dengan syarikat insurans serta pihak berkepentingan lain,“ katanya. Beliau menegaskan keselamatan harus menjadi sebahagian daripada sistem korporat setiap syarikat platform. Loke menekankan kerajaan tidak mahu syarikat platform memberi tekanan kepada rider untuk mengejar jumlah penghantaran sehingga mengabaikan keselamatan. “Kita tidak mahu ada sistem yang menghukum rider jika gagal menepati masa sehingga menyebabkan pemanduan berbahaya,“ jelasnya. Statistik menunjukkan dua pertiga kemalangan maut di jalan raya melibatkan penunggang motosikal, termasuk rider penghantaran. “Oleh itu, aspek keselamatan perlu diserap dalam budaya kerja semua syarikat penghantaran,“ tegas Loke. Inisiatif Pandasafe perlu diperluas dan disokong oleh semua pihak, bukan hanya bergantung kepada kerajaan. “Kerajaan boleh merangka dasar, tetapi perubahan berkekalan memerlukan komitmen industri,“ ujarnya. Data penilaian tingkah laku pemanduan boleh dijadikan penanda aras untuk memberi insentif keselamatan kepada rider yang mematuhi piawaian. “Saya harap syarikat pertimbangkan insentif tambahan kepada rider yang memenuhi KPI keselamatan,“ kata Loke. Beliau juga mencadangkan kerjasama antara industri penghantaran dan syarikat insurans untuk diskaun premium kepada rider berprestasi baik. – Bernama