MELAKA – Sebuah pesawat latihan milik Malaysian Flying Academy Sdn Bhd (MFA) dipercayai tergelincir dari landasan semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini petang KhamisMenerusi kenyataan dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), kejadian berlaku kira-kira jam 2.55 petang.Menurutnya, insiden melibatkan pesawat jenis Piper PA-28-181 dengan nombor pendaftaran 9M-SKR yang sedang melakukan penerbangan latihan."Terdapat seorang juruterbang berada di dalam pesawat ketika kejadian dan kini sedang menerima rawatan perubatan."Kerja-kerja mengalihkan pesawat sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan itu.Ujarnya, pemeriksaan penuh terhadap landasan akan dilakukan bagi memastikan keselamatan operasi sebelum landasan dijangka dibuka semula pada jam 5 petang.Jelasnya, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia akan menjalankan siasatan keselamatan."Ia dilakukan mengikut peruntukan Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016," ujarnya lagi.Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.41 petang dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.Komander Operasi, PBK II (TBK I) Mohd Saad Md Kassim berkata, pesawat terbabit telah dialihkan ke bengkel.Menurutnya, kapal terbang berkenaan dipercayai dipandu seorang lelaki warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 20-an."Mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.35 petang setelah dipastikan tiada kemerbahayaan lain," katanya.