Beruang sesat 'merayau' masuk kampung

DUNGUN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyelamatkan seekor beruang matahari jantan dianggarkan seberat 90 kilogram yang dikesan berkeliaran sekitar kampung dekat Bukit Besi, di sini.Haiwan itu berjaya ditangkap selepas masuk ke dalam perangkap yang dipasang oleh di kawasan tersebut pada Rabu.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Besi, Ahmad Bakhir Chik berkata, beruang itu sebelum ini sering dilihat berkeliaran di kawasan kampung sejak minggu lalu selain dipercayai menyebabkan kerosakan tanaman penduduk."Sebelum ini, penduduk risau kerana beruang itu beberapa kali dilihat di sekitar kampung dan perangkap telah dipasang petang Selasa selepas terima aduan daripada penduduk."Keesokan paginya, perangkap tersebut mengena dan beruang itu berjaya ditangkap dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.Menurutnya, ini merupakan kejadian ketiga beruang matahari berjaya ditangkap dalam tempoh dua bulan di kawasan berkenaan termasuk di Kampung Besol Baru dan kawasan padang golf berhampiran."Walaupun haiwan ini tidak pernah menyerang penduduk, ia tetap menimbulkan kegusaran kerana sering menceroboh kawasan tanaman seperti pokok kelapa," tambahnya.Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, beruang itu berada dalam keadaan sihat dan telah dipindahkan ke habitat baharu yang lebih sesuai."Haiwan ini akan dilepaskan semula ke lokasi yang menjamin kelangsungan hidup spesiesnya, jauh dari kawasan penempatan manusia," katanya.