Pemimpin ASEAN mahu Malaysia terus jadi perantara selesai konflik Thailand-Kemboja

KUALA LUMPUR - Semua pemimpin negara anggota ASEAN bersetuju supaya Malaysia terus memainkan peranan sebagai pengantara dalam menyelesaikan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi sempat menghubungi semua pemimpin negara ASEAN sebelum menerima kunjungan hormat delegasi Thailand dan Kemboja yang hadir di Kuala Lumpur bagi Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di sini.Saifuddin Nasution berkata, semua pemimpin atau ketua negara ASEAN yang dihubungi mendukung dan menyokong peranan yang dimainkan Malaysia dalam konflik melibatkan dua negara berjiran itu."Kesemuanya setuju bahawa mekanisme bilateral yang dibuat sekarang adalah memadai buat masa ini, sambil kita bersetuju bahawa akan ada pusingan seterusnya selepas mesyuarat hari ini," katanya dalam sidang media selepas selesai mesyuarat berkenaan pada Khamis.Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.Saifuddin Nasution berkata, Malaysia menghargai kesungguhan dan kesediaan pemimpin Kemboja dan Thailand dalam mencari jalan penyelesaian terhadap konflik yang dihadapi mereka."Dalam mesyuarat hari ini, ketua dan anggota delegasi dari kedua-dua negara benar-benar mengamalkan prinsip yang selama ini diguna pakai di peringkat ASEAN, iaitu perundingan dan perbincangan yang berteraskan kepada kepercayaan dan rasa hormat (trust and respect)," katanya.Beliau berkata, mesyuarat yang diadakan hari ini mencerminkan persefahaman bersama bahawa gencatan senjata bukan sekadar jeda, tetapi suatu janji untuk melindungi nyawa, menegakkan maruah dan mencegah lebih banyak penderitaan."Janji itu mesti dihormati menerusi komitmen, pemantauan yang berkesan, dan keazaman politik yang ikhlas daripada kedua-dua pihak, kami berbangga melihat kedua-dua pihak telah memberikan komitmen ini sepanjang mesyuarat dalam beberapa hari lepas."Di ASEAN, kami percaya dalam menyelesaikan pertikaian melalui konsensus, tanpa konfrontasi dan melalui kepercayaan, saling menghormati dan semangat tidak campur tangan. Kami mengukuhkan perpaduan serantau kami. Semangat ASEAN ini telah membimbing kami hari ini dan akan terus membimbing kami pada hari-hari mendatang," katanya.Saifuddin Nasution berkata, Malaysia sebagai tuan rumah amat berbesar hati untuk menyokong kedua-dua pihak dalam proses itu dan bersedia untuk menawarkan sebarang bantuan yang diperlukan dalam memudahkan perbincangan, membina keyakinan dan menyokong mekanisme praktikal untuk memantau gencatan senjata.Dalam pertemuan pada Khamis, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata di sepanjang sempadan bersama mereka, dengan kedua-dua pihak mengekalkan kedudukan tentera semasa sambil turut mengelak daripada sebarang tambahan anggota.Menurut Minit Mesyuarat yang Dipersetujui yang dikeluarkan, kedua-dua pihak mesti mengelakkan tembakan tanpa provokasi ke arah kedudukan atau tentera pihak lain, yang boleh meningkatkan ketegangan.Mesyuarat Luar Biasa GBC yang diadakan di Wisma Perwira di sini hari ini dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Jeneral Tea Seiha yang juga Menteri Pertahanan serta Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit.Turut hadir sebagai pemerhati Saifuddin Nasution, Adly dan Mohd Nizam dari Malaysia, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing. -Bernama