Akmal Saleh tempelak sindiran Chang Kim, tegas isu bendera bukan perkara remeh

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh menyelar kenyataan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Kim yang menyindirnya sebagai ‘anjing liar’ kerana membangkitkan isu penghinaan terhadap bendera Malaysia.Menurut Akmal, tindakan mempertahankan lambang negara tidak sepatutnya dijadikan bahan ejekan atau sindiran oleh mana-mana pihak termasuk pemimpin veteran.Beliau berkata, apabila tiada lagi hujah untuk mempertahankan penghinaan terhadap bendera, ada pihak mula menyerang peribadi dengan gelaran melampau seperti ‘anjing liar’."Inilah perangai pemimpin mereka. Bila kita pertahankan lambang bendera Malaysia dan tiada lagi isu yang mereka boleh bangkitkan, akhirnya kita pula dituduh sebagai 'anjing liar'."Bukan hanya yang muda sahaja yang bersikap dangkal, pemimpin senior pun rupa-rupanya sama sahaja," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.Akmal turut membidas kenyataan Teng Chang Kim yang menyifatkan beliau hanya menumpang isu bendera sebagai ‘talian hayat politik’, sambil menyindir pemimpin DAP itu tidak menunjukkan semangat nasionalisme.Katanya, isu penghinaan terhadap Jalur Gemilang bukan isu kecil dan wajar ditegur oleh mana-mana rakyat Malaysia yang cintakan negara, tanpa mengira latar belakang politik."Sebiji perangai macam babi hutan," tulisnya dalam nada sinis sambil menyertakan kenyataan yang disifatkan sebagai sindiran kepada kenyataan Teng.Dalam nada berseloroh, Akmal turut menambah: "Lepas ni tuduh saya menghina babi hutan pula ya."Terdahulu, Chang Kim dalam satu hantaran di Facebook miliknya mempersenda tindakan Akmal mempertahankan isu bendera sebagai taktik murahan untuk meraih perhatian rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.Isu penghinaan terhadap Jalur Gemilang tercetus selepas tular tindakan segelintir individu mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik, termasuk di premis perniagaan dan kediaman.Akmal sebelum ini lantang mengecam tindakan tersebut dan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas agar maruah negara tidak dipermainkan.