BATU PAHAT - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menumpaskan kegiatan sekumpulan warga asing yang menjadikan kawasan perniagaan di Bandar Ayer Hitam sebagai ‘Mini Pakistan’ dalam satu operasi bersepadu pada Rabu.Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, seramai 35 individu termasuk tiga lelaki tempatan ditahan hasil serbuan yang bermula pada jam 2.25 petang.Menurut beliau, serbuan Ops Belanja, Ops Selera, Ops Sapu dan Ops Kutip itu membabitkan pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor, pegawai dari Bangunan Sultan Iskandar serta kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)."Hasil risikan awal dan maklumat awam, kami berjaya menahan 20 lelaki warganegara Pakistan, sembilan lelaki Bangladesh, seorang lelaki Indonesia serta dua wanita Indonesia."Kesemua mereka dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan tanpa dokumen sah serta menyalahgunakan pas yang diberikan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Jelas Mohd Rusdi, tiga lelaki tempatan yang ditahan dipercayai merupakan pemilik dan penyelia premis yang menggaji serta melindungi warga asing terbabit."Siasatan awal mendapati, kesemua warga asing berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tinggal tanpa permit sah dan melanggar syarat pas."Dua warga tempatan pula ditahan bawah Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi pendatang asing, manakala seorang lagi bersama seorang warga asing ditahan bawah Seksyen 55E kerana membenarkan kemasukan dan penempatan warga asing di premis."Semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut," ujarnya.Mohd Rusdi menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau premis yang bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI)."Imigresen Johor komited untuk mempergiat operasi seumpama ini bagi membanteras lambakan PATI serta penyalahgunaan pas dan permit oleh warga asing di negeri ini," katanya lagi.