Anwar jangan bohong, kalau salah minta maaf - Hamzah

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar bersikap lebih telus dengan tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengelirukan Dewan Rakyat dan memohon maaf sekiranya terlanjur berbohong.Hamzah turut menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul agar tidak melindungi mana-mana ahli Parlimen yang didakwa menyalahgunakan kedudukan di Dewan Rakyat.Beliau merujuk kepada beberapa isu berbangkit, antaranya berkaitan isu siasatan terhadap Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pulau Batu Puteh."Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dah buat usul pada 24 Julai merujuk Ahli Parlimen Tambun ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengelirukan dewan dalam isu RCI Pulau Batu Puteh."Kita tanya apa jadi dengan usul ini tadi, Spekaer jawab masih dalam siasatan. Tak apalah kita benarkan mereka nak siasat, tapi janganlah sampai pilihan raya," katanya sinis ketika sidang media di Parlimen pada Khamis.Dalam masa sama, Hamzah turut menyentuh isu kebebasan kehakiman yang dibangkitkan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berhubung dakwaan bahawa keputusan Perdana Menteri untuk tidak mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah disebabkan faktor usia."Kalau tak bersalah, kata tak bersalah jangan sebab umur," katanya.Beliau juga mengulangi ketegasan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuntut permohonan maaf daripada Anwar kerana mengeluarkan kenyataan didakwa sebagai fitnah."Pagoh telah menegaskan...macam SKMM cakap, kalau tak pasti, jangan kongsi."Jangan berbohong, jangan menuduh, jangan salah menggunakan kedudukan sehingga mengelirukan rakyat seluruh negara," katanya.Hamzah juga menegaskan, kuasa yang dimiliki kerajaan hari ini tidak seharusnya digunakan untuk menindas kebenaran atau menyekat suara wakil rakyat pembangkang yang membangkitkan isu kepentingan awam.Sebelum itu, Dewan Rakyat sedikit kecoh ketika Muhyiddin menuntut Anwar memohon maaf dan mendesak Anwar menarik balik kenyataan yang mendakwa dirinya menyokong pemberian subsidi RON95 kepada warga asing kerana ia tidak benar sama sekali.