GOMBAK - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan tindakan melucut hak kenderaan milik syarikat dan pengendali berlesen kenderaan perdagangan yang menggajikan pemandu warga asing secara haram, berkuat kuasa pada Khamis.Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan itu melibatkan kenderaan barangan (lori), kenderaan perkhidmatan awam dan bas persiaran yang menggunakan khidmat pemandu warga asing bagi tujuan perkhidmatan.Menurutnya, berdasarkan peraturan semasa, warga asing tidak dibenarkan memiliki Lesen Vokasional, sama ada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) atau Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan sebarang pelanggaran merupakan kesalahan serius."Dalam hal ini, tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Seksyen 22, 41 dan 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana melanggar syarat permit, serta Seksyen 80 APAD 2010 yang membolehkan Pegawai Pengangkutan Jalan menyita kenderaan di mana-mana tempat dan membawanya ke mahkamah untuk tindakan lucut hak, jika sabit kesalahan," katanya kepada pemberita di Stesen Penguat Kuasa Gombak, di sini pada Khamis.Beliau berkata, tindakan tegas itu diambil susulan peningkatan kes syarikat dan pengendali berlesen yang menggajikan warga asing untuk memandu kenderaan perdagangan, termasuk melakukan kesalahan berulang.Katanya, bagi tempoh tahun ini sehingga Julai, JPJ telah mengeluarkan 2,733 saman terhadap warga asing yang memandu kenderaan perdagangan secara tidak sah."Kesalahan itu meliputi tiada GDL (2,551 kes), tiada PSV (93 kes) dan 89 kes lebih muatan," ujarnya.Tambah beliau, syarikat dan pengendali berlesen dalam industri pengangkutan diseru supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memastikan setiap pekerja yang diambil memiliki dokumen serta kelayakan yang sah."Operasi pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan akan terus dilaksanakan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain."Kita tegas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar mana-mana peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, APAD 2010 serta akta-akta lain yang berkaitan," katanya.