[VIDEO] Telefon bimbit mengandungi audio perbualan Zara Qairina diserah kepada polis

KOTA KINABALU – Telefon bimbit milik ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang mengandungi rakaman audio perbualan bersama mangsa telah diserahkan kepada polis di Balai Polis Karamunsing di sini pada petang Khamis.Noraidah Lamat, 45, menyerahkan peranti tersebut bersama kad SIM sebagai bahan bukti untuk membantu siasatan kematian anaknya.Penyerahan itu dibuat susulan pengembalian semula laporan penuh siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Rabu.Peguam yang mewakili Noraidah, Hamid Ismail berkata, polis akan menghantar semua item yang telah diserahkan ke Unit Forensik di Cheras."Penyerahan dibuat oleh Noraidah sendiri bersama wakil badan bukan kerajaan (NGO) kira-kira jam 4 petang dan selesai sekitar jam 4.35 petang," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Balai Polis Karamunsing di sini.Beliau berkata, ini merupakan penyerahan susulan selepas penyerahan pakaian dan barangan peribadi milik Zara Qairina yang dipakai ketika mangsa ditemui sebelum ini.Mengulas mengenai perkembangan kes, Hamid memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas berkaitan permohonan untuk penggalian semula kubur Allahyarham."Belum ada perkembangan lagi. Jika ada, kami akan maklumkan."Alhamdulillah, buat masa ini kami berterima kasih kepada Pejabat Peguam Negara kerana memenuhi permintaan pertama kami iaitu menyerahkan semula kertas siasatan kepada PDRM. Kini pihak polis juga dilihat lebih aktif menjalankan siasatan," katanya.Dalam masa sama, beliau turut menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi liar atau memberikan komen yang tidak bermanfaat berhubung kes kematian Zara Qairina."Ibu Zara sangat memerlukan sokongan dan doa daripada semua pihak. Beliau kini berada dalam keadaan tertekan kerana baru kehilangan anak berusia 13 tahun."Kami juga berterima kasih kepada NGO yang banyak membantu, walaupun saya tidak sempat ingat semua nama mereka. Terima kasih atas sokongan semua," katanya.