Ibu Zara Qairina tertekan, peguam rayu henti spekulasi

KOTA KINABALU – Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, 45, berada dalam keadaan sangat tertekan dan memerlukan sokongan moral ketika ini, kata peguam mewakilinya, Hamid Ismail.Menurut Hamid, pihaknya memohon orang ramai supaya menghentikan sebarang spekulasi liar dan komen tidak bermanfaat berhubung kes kematian remaja berusia 13 tahun itu."Saya mohon kepada semua netizen agar tidak membuat sebarang spekulasi liar dan komen-komen yang tidak bermanfaat."Ibu Zara sekarang memerlukan sokongan anda semua, memerlukan doa. Dia dalam keadaan tertekan, baru kehilangan anak yang berumur 13 tahun."Jadi, diharapkan anda semua dapat memberikan kata-kata yang baik serta mendoakan beliau," katanya kepada pemberita pada Khamis.Beliau berkata demikian selepas mengiringi anak guamnya ke Balai Polis Karamunsing di sini bagi menyerahkan telefon bimbit dan kad SIM milik Noraidah yang mengandungi rakaman perbualan bersama arwah anaknya, bagi membantu siasatan polis.Menurut Hamid, penyerahan tersebut dilakukan pada jam 4.35 petang, turut disertai wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO)."Penyerahan dibuat sendiri oleh Noraidah. Beliau lebih selesa begitu. Kandungan dalam telefon itu juga telah disimpan salinannya oleh beliau sendiri," katanya.Mengulas lanjut, Hamid mengesahkan tiada prosedur bedah siasat dijalankan selepas kematian Zara Qairina, yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu."Memang tiada bedah siasat dilakukan. Ini bukan soal tandatangan, tetapi memang tidak ada," tegasnya.