Jangan tambah luka kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina

KUALA LUMPUR - Semua pihak wajar menunjukkan empati dan adab dalam berinteraksi dengan isu-isu yang menyentuh maruah, kesedihan dan keadilan dalam kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.Penolong Setiausaha Pertubuhan Wira Seni Unik, Ahmad Faris Othman berkata, kematian tragik melibatkan seorang kanak-kanak adalah peristiwa yang menyentuh nurani setiap insan.Justeru, katanya, Pertubuhan Wira Seni Unik menyokong seruan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya masyarakat menghormati sensitiviti keluarga Allahyarham Zara Qairina dan tidak mendahului siasatan pihak berkuasa."Dalam era digital dan media sosial yang serba pantas, ramai tergoda untuk menghakimi, menyebar spekulasi dan mendesak tindakan secara terbuka sebelum fakta sebenar diperoleh."Ini bukan sahaja menambah luka kepada keluarga, malah berpotensi mencemarkan proses siasatan serta keadilan itu sendiri."Sejarah membuktikan, keadilan yang tergesa-gesa tanpa bukti sahih akan meruntuhkan kepercayaan kepada sistem perundangan dan menyebabkan trauma berpanjangan kepada mereka yang terlibat," kata Ahmad Faris dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri telah menyampaikan mesej yang jelas - biarkan pihak berkuasa menjalankan tugas berdasarkan lunas undang-undang dan prosedur siasatan yang telus.Katanya, undang-undang wujud bukan hanya untuk menghukum, tetapi juga untuk melindungi hak semua pihak, termasuk mangsa, suspek dan masyarakat umum."Kami menyeru orang ramai agar tidak menambah kesakitan keluarga dengan andaian atau kenyataan tidak berasas. Sebaliknya, salurkan sokongan dengan mendoakan keadilan ditegakkan dan memperkukuh budaya saling menghormati dalam masyarakat."Dalam erti kata yang lebih luas, inilah masa untuk kita semua menunjukkan nilai kemanusiaan sejati — dengan sabar, tertib, dan percaya kepada proses yang adil," katanya.Zara Qairina ditemui parah dan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, pada jam 11 pagi keesokan harinya.Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun pada 31 Julai lalu memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kematian Zara Qairina dan laporan penuh siasatan awal kes itu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.