Tertangguh sejak Januari, Konsert Tsumawi tidak diteruskan

KONSERT Tsumawi 20: Mawi World Live in KL yang dijadualkan berlangsung pada 25 Januari lalu, secara rasminya dibatalkan selepas dua kali penangguhan.Perkara itu dimaklumkan pihak penganjur, Showtag Asia, menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu.Menurut kenyataan tersebut, keputusan itu terpaksa dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor luar kawalan yang tidak dapat dielakkan."Dengan berat hati, kami ingin memaklumkan bahawa Konsert Tsumawi 20 Mawi World Live In KL yang telah pun ditunda pada Julai terpaksa dibatalkan atas beberapa faktor yang tak dapat dielakkan."Kami mohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan amat menghargai sokongan yang telah diberikan selama ini," ujar kenyataan itu.Penganjur turut memaklumkan bahawa semua urusan pemulangan tiket kini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Showtag Entertainment dan pihak Santai.La tidak lagi terlibat dalam proses berkenaan.Mengulas lanjut, pihaknya mengakui keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah memandangkan mereka telah berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan konsert itu."Kepada semua yang telah menanti, menyokong dan menzahirkan semangat, kami ucapkan jutaan terima kasih. Kami benar-benar menghargai setiap satu daripada anda."Teruskan bersama kami dan ini bukan titik noktah, tetapi hanya koma dalam perjalanan kami," tambah kenyataan itu lagi.Terdahulu, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 44, pernah mengumumkan penganjuran konsert berkenaan di Megastar Arena, Kuala Lumpur sempena meraikan dua dekad pembabitannya dalam industri seni.Bagaimanapun, pada Disember tahun lalu, pihak penganjur memaklumkan konsert tersebut ditangguhkan ke Julai 2025 sebagai tanda solidariti terhadap mangsa banjir di beberapa buah negeri.