Subsidi RON95: Muhyiddin saksi, bukan subjek siasatan - MCMC

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menghubungi Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi keterangan sebagai saksi dan bukan subjek siasatan.MCMC dalam satu kenyataan berkata, keterangan itu hanya bertujuan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan."Siasatan tersebut melibatkan kandungan sebuah akaun TikTok yang mengaitkan beliau dengan satu dakwaan berhubung subsidi bersasar RON95."Fokus siasatan adalah bagi mengesahkan konteks kandungan yang disiarkan dan tidak melibatkan sebarang dakwaan atau pertuduhan terhadap beliau," katanya pada Rabu.Sebelum ini, Muhyiddin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau menyokong pemberian subsidi kepada warga asing, sambil menyifatkan kenyataan tersebut sebagai fitnah dan pembohongan yang dilemparkan terhadapnya.Anwar dalam sesi Pertanyaan Menteri pada Selasa meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan bebankan orang asing dalam penyasaran subisidi RON95.Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian sebagai reaksi terhadap pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta beliau menjelaskan siapa ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing, susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.Tambah kenyataan itu, bagi melengkapkan siasatan, MCMC akan memanggil mana-mana individu yang berkaitan sekiranya perlu."MCMC menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi, serta memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan secara bebas, berhemah dan profesional," ujarnya.