'Tanpa penyapu pun BN tewas di Selangor' - Khir Toyo

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo mempertahankan tindakannya memberi penyapu kepada pegawai kerajaan negeri yang dianggap gagal mencapai sasaran kutipan cukai sekali gus menolak tanggapan bahawa ia punca kekalahan Barisan Nasional (BN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lampau.Beliau berkata, keputusan kerajaan negeri memberikan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal itu dibuat menerusi satu mesyuarat yang turut disertai pegawai kerajaan tempatan berkaitan.Bagaimanapun, menurutnya, pegawai yang berhasil mencapai sasaran pula diberi hadiah lawatan sambil belajar untuk mengurangkan tunggakan di PBT masing masing."Harus diingat pada PRU yang sama, BN kalah juga di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Terengganu."BN Selangor kalah lagi teruk bila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jadi pengerusi BN Selangor, dari 21 kerusi tinggal 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)."Tanpa penyapu pun, BN terus tewas dari 12 kepada enam kerusi DUN. Dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) dengan bantuan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), UMNO hanya menang dua kerusi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.Sebelum ini, seorang pemimpin UMNO membidas keputusan Mohamad Khir yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain membangkitkan isu hadiah penyapu kepada PBT tertentu sebagai punca kejatuhan BN di negeri tersebut.Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Bersatu kerana menerima penyertaan Mohamad Khir yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang.Untuk rekod, Mohamad Khir pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar.