JOHOR BAHRU – Lelaki gelandangan yang menjadi bahan kandungan video tular memaparkan tiga remaja memberi sisa makanan nasi dan tulang sebagai ‘sedekah’ baru-baru ini, sudah memaafkan perbuatan remaja terbabit.Lelaki yang dikenali sebagai Ram, 49, berharap agar insiden seumpama tidak berulang terhadap mana-mana gelandangan lain."Saya maafkan perbuatan mereka dan berharap ia tidak berulang kepada gelandangan lain."Selepas kejadian itu, beberapa penduduk datang jumpa saya, bagi makanan dan bertanya khabar, malah ada yang mohon maaf atas perbuatan tiga remaja itu," katanya.Ram menyedari mengenai video tersebut selepas ia tersebar di media sosial dan dimaklumkan oleh pengunjung di sekitar kawasan dia berada."Terkejut apabila mendapati bungkusan itu ada sisa makanan, saya tak marah sebaliknya hanya ucapkan terima kasih kepada mereka. Ketika itu juga, mereka beri bungkusan berbeza mengandungi makanan."Saya tak pasti tujuan mereka berbuat demikian, saya hanya sedar video tular itu selepas dimaklumkan pengunjung kawasan ini yang turut kecewa dengan perbuatan mereka," tambahnya.Walaupun terkejut apabila mendapati bungkusan itu hanya berisi sisa makanan, Ram memilih untuk bersangka baik dan menganggap tindakan tersebut dilakukan tanpa pertimbangan matang.Ram yang berasal dari Perak kini hidup sebagai gelandangan selepas tidak lagi mempunyai pekerjaan.Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai tindakan pihak berkuasa terhadap ketiga-tiga remaja terbabit dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib.Sejak insiden itu tular, beberapa pihak tampil menyantuni Ram termasuk memberikan sumbangan makanan sebagai tanda prihatin terhadap apa yang berlaku.Tindakan tiga remaja terbabit menerima kecaman hebat dalam kalangan netizen yang menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan memalukan.Pada Selasa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan tiga individu dipercayai pempengaruh media sosial berhubung penyebaran video yang memaparkan mereka memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.Kenyataan MCMC memaklumkan rakaman keterangan dan siasatan lanjut berhubung perkara itu telah dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor selain menyita tiga telefon bimbit dan tiga kad SIM bagi membantu siasatan.