GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United mengesahkan persetujuan perpindahan penyerang muda Slovenia, Benjamin Sesko dari kelab Jerman, RB Leipzig dengan nilai keseluruhan £73.7 juta (RM418 juta).Perjanjian tersebut melibatkan bayaran asas £66.3 juta (RM376 juta), manakala selebihnya dalam bentuk tambahan prestasi.Pemain berusia 22 tahun itu dijangka melengkapkan ujian perubatan serta urusan dokumentasi sebelum rasmi menyertai skuad kendalian Ruben Amorim di Old Trafford.Penyerang berbakat itu, yang turut diburu Newcastle United, telah menjaringkan 39 gol dalam 87 penampilan bersama Leipzig di Bundesliga.Kemasukan Sesko menjadikan beliau penyerang ketiga dibawa masuk United pada jendela perpindahan musim panas ini selepas Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo, dengan nilai gabungan sekitar £130 juta (RM737 juta).Sumber kelab mendedahkan bahawa struktur pembayaran kesemua pembelian tersebut dirancang secara strategik agar United kekal aktif dalam pasaran pemain.Kelab itu juga memperoleh suntikan tunai £5 juta (RM28 juta) daripada Chelsea selepas kelab London itu menarik diri daripada usaha mendapatkan Jadon Sancho.Tambahan pula, United dijangka boleh mengumpul sehingga £50 juta (RM283 juta) sekiranya bersetuju melepaskan Alejandro Garnacho, pemain sayap yang kini mendapat minat tinggi termasuk dari Chelsea dan telah dimaklumkan bahawa beliau dibenarkan meninggalkan kelab musim ini.Dalam perkembangan berkaitan, Rasmus Hojlund, yang hanya menjaringkan 14 gol Liga Perdana dalam dua musim, turut disenaraikan untuk dijual pada harga sekitar £30 juta (RM170 juta).Langkah Sesko memilih United turut menjadi tamparan buat Newcastle yang sebelum ini gagal mendapatkan Hugo Ekitike (Liverpool) dan kini berdepan risiko kehilangan penyerang utama mereka, Alexander Isak, yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield.