RANTAU PANJANG - Setelah sembilan bulan berada di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, penyanyi wanita sohor Kelantan Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, kembali ke pangkuan keluarga tercinta pada malam Khamis.Ibu kepada dua anak berusia lima dan sembilan tahun itu dibenarkan pulang kira-kira jam 11.40 malam selepas merakam keterangan di Balai Polis Rantau Panjang lebih tiga jam bersama rakannya, Nur Aida Mamat, 33.Eda Ezrin dan Nur Aida dibenarkan pulang ke Kelantan pada jam 6 petang selepas dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat pada Rabu.Bagaimanapun, suami Eda Ezrin, Mohd Affendi Ahmad, 35, Eridieka Mohd Noor, 33, Zuhaira Nasrin, 26, dan Mohamad Alif Deraman, 33, masih berada di Depot Tahanan Imigresen Golok untuk urusan dokumentasi sebelum dibenarkan pulang.Eda Ezrin yang memakai jubah serta tudung sarung hitam kelihatan sebak apabila melihat ahli keluarga yang hadir di hadapan Balai Polis Rantau Panjang.Hadir menyambut penyanyi 'Bae Sobar Bea' itu ialah ayahnya, Wan Ismail Wan Yusof, 52, dan ibu, Zahara Mamat, 47, serta keluarga mentua serta saudara mara yang lain.Eda Ezrin memilih pulang ke rumah ibu mentuanya di Kota Bharu dengan menaiki kereta jenis Honda City Hatchback.Usaha pihak media untuk menemubual Eda Ezrin gagal apabila beliau dikatakan enggan bertemu dengan wartawan yang berkampung di hadapan Balai Polis Rantau Panjang.Terdahulu, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat di sini pada Rabu.Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam pada Rabu.Sinar Harian pada Khamis melaporkan, polis akan terus menahan Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami dan empat lagi rakanya sebaik sahaja masuk ke negeri ini pada petang Khamis.Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat penahanan itu bertujuan merakam percakapan.