Kanak-kanak perempuan cedera disamun lelaki bersenjatakan pisau

SEPANG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun cedera selepas disamun seorang lelaki bersenjatakan pisau di sebuah rumah di Putra Perdana di sini pada Khamis.Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G K Shan Gopal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa mangsa pada jam 5.03 petang.Menurutnya, pengadu menerima makluman berkaitan kejadian itu daripada jirannya."Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, leher dan kepala sebelum dihantar jiran ke hospital untuk mendapatkan rawatan."Keadaannya kini stabil dan tidak mengalami kecederaan serius," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Shan Gopal berkata, suspek berusia 40-an itu bersenjatakan pisau yang diambil dari rumah mangsa."Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan."Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kes itu," katanya.