Fadillah, Abang Joe antara yang layak jadi PM dari Sarawak

TAHUN 2025 menyaksikan negara meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 dan Hari Malaysia ke-62.Lebih enam dekad rakyat Malaysia hidup bersama dalam sebuah negara merdeka dan berdaulat, namun persoalan masih berlegar mengenai sejauh mana perpaduan yang merangkumi bukan sahaja aspek kaum, agama dan budaya, tetapi hubungan antara wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung benar-benar dirasai.Pun begitu, suasana politik hari ini menyaksikan GPS bukan sahaja dominan di Sarawak, bahkan menjadi kuasa politik baharu di Malaysia.Dengan tempoh 62 tahun bersama Malaysia, adakah wilayah Sarawak atau Sabah mampu menjelmakan seorang Perdana Menteri dari Borneo?Ikuti temu bual eksklusif wartawan Haizir Othman bersama Ahli Parlimen Kapit yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam program Interviu yang berlangsung di Kompleks Karangkraf.Sinar Harian: Selepas lebih 60 tahun merdeka, isu ketidakseimbangan antara wilayah dari segi pembangunan masih belum ditangani dengan baik. Pada pandangan Datuk Seri, adakah kita sudah merasai perpaduan dalam kalangan rakyat antara kesemua wilayah ini?Alexander: Saya ambil sebagai kunci kata, adakah kita sudah mencapai perpaduan sebenar. Terus terang saya katakan, kita tidak merasakan sudah sampai ke tahap perpaduan yang sepatutnya walaupun sudah menjangkau lebih 60 tahun sebagai satu negara Malaysia.Mengapa saya kata begitu?Jelas sentimen yang ditunjukkan di Sarawak dan Sabah yang belum lagi ada kepuasan atas pembangunan yang sepatutnya kami di sana rasa. Setelah lebih 60 tahun merdeka sepatutnya semua sudah selesai.Sebagai contoh, kita baru sahaja dapat Lebuhraya Pan Borneo (LBP). Di Sarawak sudah siap tetapi di Sabah, satu fasa baru bermula. Jadi itu baru jalan besar, lebuh raya. Jalan luar bandar belum lagi. Masih banyak yang perlu dilengkapi di Sarawak dan Sabah dengan pembangunan infrastruktur asas.Bekalan air terawat belum sampai ke semua kampung di pedalaman termasuk masalah komunikasi. Sebab itu kita banyak dengar sentimen seolah-olah Sarawak dan Sabah patut dapat peruntukan lebih.Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sangat tegas dengan katakan It's time for Sarawak sekiranya tidak dapat bergantung kepada pemimpin Persekutuan, biarlah kami buat sendiri dengan sumber yang ada.Banyak perbincangan semula tentang perkara-perkara yang sudah dipersetujui dalam MA63, sekarang revisit sebab mahu guna status dalam perjanjian itu.Bagaimana Datuk Seri mengimbangkan antara tuntutan wilayah Sarawak dan Borneo dengan kolektif tanggungjawab bersama sebagai menteri Kabinet untuk mendukung kerajaan sedia ada pada ketika ini demi kestabilan.Ia tidak jadi satu cabaran yang besar. Memang Sarawak diterajui oleh gabungan parti GPS dengan slogan ‘Sarawak First’, tetapi tidak semestinya kita bercanggah dengan dasar atau strategi pembangunan negara di peringkat kerajaan Persekutuan.Kita putuskan dalam Kabinet supaya negara diterajui dengan baik, pelihara kesejahteraan rakyat dan ekonomi juga diurus dengan baik.Jadi apa-apa isu yang perlu dibincangkan, dibangkitkan dan diputuskan dalam Kabinet ataupun dalam kerajaan Sarawak, ada kepentingan yang terangkum di dalamnya.Sebab itu di Sarawak, pergolakan politik tidak kira siapa atau parti yang jadi kerajaan Persekutuan, kita sokong.Ada satu ketika Barisan Nasional (BN), masa itu kami pembangkang tetapi apabila dibincangkan kepentingan negara, kita sokong sebab mahu kerajaan Persekutuan stabil. Bila kerajaan stabil, Sarawak boleh membangun dalam keadaan politik yang stabil.Tentunya GPS berpendirian kalau kita ada peluang, kita memang sentiasa mahu bersama dalam kerajaan Persekutuan supaya suara kita, kuasa-kuasa dalam kerajaan ada bersama untuk Sarawak.Bagaimana kemajuan MA63 setakat ini? Adakah Datuk Seri cukup berpuas hati dengan perkembangan terkini?Banyak perkara yang dibincangkan dalam rundingan supaya beberapa pencapaian dipersetujui dan kita sudah dapat daripada kerajaan Persekutuan iaitu Pelabuhan Bintulu.Selain itu sudah diputuskan supaya perkhidmatan penerbangan MAS Wing yang banyak membantu dalam perkhidmatan luar bandar Sarawak dan Sabah diberikan.Jadi biarlah kerana ada kemampuan, kerajaan Sarawak yang diterajui Abang Johari sudah mohon daripada kerajaan Persekutuan dan dipersetujui ia diambil alih yang nanti akan disebut sebagai Air Borneo.Selain itu Sarawak sudah mewujudkan sebuah syarikat yang dipanggil Petros, yang bertindak seperti Petronas. Setakat ini banyak yang sudah dipersetujui, mungkin ada lagi perlu diperhalusi.Pada tahun 2022, pindaan kepada Perlembagaan yang mana Sarawak tidak lagi sebagai sebuah negeri tetapi kita tahap wilayah, pencapaian yang besar sebab ada beza.Pencapaian kita bukan hanya dalam kerajaan sekarang, malah yang dahulu pun saya sudah jelaskan.Baru-baru ini di Dewan Rakyat, Datuk Seri mengatakan penghapusan tol bukan satu langkah munasabah. Adakah pada masa akan datang kita akan menemui jalan untuk tidak ada lagi tol di negara?Perkara ini perlu diperhalusi dengan teliti sebab ia bukan mudah. Nak mansuhkan tol memang mudah dikatakan tetapi melaksanakan, bukan mudah sebab implikasi kewangannya besar.Kita bermula dengan kos untuk penyenggaraan setahun bagi lebuh raya. Malaysia ada 33 lebuh raya yang bertol, jadi kalau hapuskan tol, dari mana nak dapat dana untuk menyenggarakan supaya sentiasa dalam keadaan terbaik selamat dan selesa digunakan oleh pengguna jalan raya. Berbilion ringgit perlu dibelanjakan hanya untuk kerja-kerja penyenggaraan.Bukan itu sahaja, lebih raya akan menua sebab jalan raya perlu dibuat semula, bukan hanya tampal sebagai baik pulih.Ambil kira juga kalau nak hapuskan tol sebelum tamat perjanjian konsesi, kerajaan semestinya memberi pampasan kepada syarikat terlibat.Sebab itu bagi saya tidak wajarlah nak hapuskan tol kerana kerajaan akan mencari dana besar untuk kerja-kerja penyenggaraan dan juga untuk bayar pampasan kepada syarikat konsesi.Jadi tidak adil kepada warga Malaysia yang duduk di tempat lain, sebab itu kita guna prinsip user pay, siapa yang guna dia yang bayar.Bila tempoh konsesi tamat bermakna lebih raya itu dikembalikan kepada kerajaan.Selepas itu terpulang kepada kerajaan sekiranya nak mengurangkan tol ketika itu.Siapakah yang menguruskan kenaikan kadar tol? Adakah diuruskan sepenuhnya oleh pemegang konsesi atau kerajaan boleh campur tangan?Sudah termaktub dalam perjanjian, jadi apabila satu jajaran dibuat untuk keselesaan pengguna jalan raya, cadangan mereka kita ambil sebagai bantuan dalam menguruskan trafik dan juga perjalanan pengguna jalan raya.Dalam perjanjian itu, mereka akan mengenakan caj dalam tol, semak semula supaya boleh dinaikkan mengikut model perniagaan mereka sebab kaedah ini membantu kerajaan supaya projek-projek begini boleh dilaksanakan tanpa kewangan daripada kerajaan.Pan Borneo pula sudah ditetapkan oleh kerajaan dari mula tidak akan ada tol, sebab prinsipnya jalan utama belum ada, kerajaan belum membina jalan untuk rakyat termasuk rakyat di Sarawak dan Sabah.Jadi apabila Pan Borneo dinaik taraf dari jalan yang lama dulu, kita belum ada jalan alternatif. Di masa hadapan kalau ada pihak swasta nak bina, itu terpulang kepada kerajaan masa itu.Dalam konteks kepuasan hati terhadap kerajaan Persekutuan ketika ini dengan desakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatan, bagaimana Datuk Seri dapat menjelaskan isu-isu yang ditimbulkan pembangkang?Bagi saya tidak perlulah Anwar lepaskan jawatan. Tidak wajar minta beliau turun buat masa sekarang sebab sudah lebih dua tahun Kerajaan Madani memerintah.Biarlah beliau jalankan apa yang telah dirancang, penambahbaikan kepada apa yang telah kita guna pakai selama ini. Sudah ada ruang dan peluang untuk penambahbaikan, cara menguruskan kerajaan ataupun menguruskan negara.Yang sangat penting adalah menguruskan ekonomi serta memastikan rakyat hidup dengan sejahtera. Ini bukan mudah dengan ada cabaran-cabaran dari luar seperti baru-baru ini, tarif dari Amerika Syarikat. Kalau tidak diurus dengan baik, mungkin kita terkesan.Setakat ini kita masih boleh bersaing dengan negara-negara lain. Jadi bagi saya, kalau hanya berpolitik, biarlah letak tepi dulu.Memang pembangkang kerjanya untuk buat semak imbang, saya tidak menafikan. Akan tetapi ia perlu ada batasan dan prinsip.Jika politik terlalu tidak menentu dengan turun ke jalanan, bagi saya tidak perlu. Kita tidak mahu negara dilihat seolah-olah tidak selamat, tidak diurus dengan baik.Walaupun diakui ada banyak ruang dan peluang untuk diurus lebih terbaik, tetapi dalam keadaan kucar-kacir, kena buat peningkatan, penambahbaikan.Jagalah nama negara, sebab itu saya tidak setuju dengan mana-mana pihak yang pergi ke jalanan hingga ia boleh disalah tafsir orang luar.Mungkin belum tercapai semua reformasi atau rancangan birokratik yang dirancang tetapi ia bermula dengan tata kelola yang selalu disebutkan.Berilah Perdana Menteri ruang dan peluang untuk tadbir negara, perlukan masa untuk membangunkan Malaysia dan kita kena bantu serta menyokong demi memulihkan negara dan rakyat.Bila agaknya kita dapat melihat Perdana Menteri dari Sarawak?Bagi saya, Datuk Seri Fadillah Yusof (Timbalan Perdana Menteri) sudah boleh jadi Perdana Menteri dan beliau layak. Lihat cara dia kerja, memiliki watak dan akhlak seorang pemimpin.Bukan mahu ambil alih, tetapi jika ada peluang Abang Johari juga bagi saya cukup layak.