KUALA LUMPUR - Isu warga emas terabai semakin mendapat perhatian di negara ini. Warga emas yang menjadi mangsa pengabaian keluarga dan masyarakat mengharungi hari tua mereka dalam kemurungan, kesedihan dan terpaksa hidup sendirian tanpa keluarga di sisi.Peka dan prihatin dengan isu ini, aktivis muda, Muhammad Syafiq Mohiadin, 36, semakin lantang bersuara membela nasib warga emas yang terabai."Masalah warga emas dipinggir dan diabaikan oleh darah daging sendiri semakin banyak berlaku dan kita perlu melakukan sesuatu agar mereka dapat melalui ‘hari tua’ dengan bahagia. "Warga emas emas terabai ini termasuk anak-anak yang menghantar orang tua yang sakit ke hospital dan dibiarkan dalam wad tanpa dijemput semula. Saya pernah terjumpa kes seorang warga emas yang dibiarkan selama 200 hari di hospital."Selain itu, isu ini juga melibatkan orang tua yang tiada rumah akibat dibuang keluarga atau anak-anak. Apa pun situasinya, keadaan ini amatlah menyedihkan selepas ibu bapa berkorban untuk membesarkan dan menyediakan segala keperluan untuk anak-anak," katanya.Seiring dengan usahanya mahu terus memperjuangkan nasib warga emas, Syafiq kini aktif sebagai Setiausaha Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Penolong Setiausaha Kehormat Pertubuhan Gabungan Rumah Kebajikan Perpaduan Negeri Selangor (PAKAR) dan Setiausaha Pertubuhan Sukarelawan Hospital Kajang, Selangor (kini dikenali Tengku Permaisuri Norashikin).Bagi Syafiq, isu pengabaian orang tua ini akan berterusan jika ia tidak diperjuangkan secara serius dan konsisten.Untuk merealisasikan semangat dan iltizamnya, Syafiq kini sedang mengatur langkah untuk menceburi bidang politik demi membela nasib golongan ini."Menceburi dunia politik membuka laluan yang lebih luas untuk saya menyuarakan isu ini dan inilah agenda yang akan saya perjuangkan sekiranya bergelar ahli politik."Saya akan mengusulkan dan berusaha mewujudkan undang-undang melindungi warga emas yang terabai," katanya.Syafiq juga mencadangkan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) melakukan pemotongan khas untuk warga emas ke atas anak-anak yang didapati telah mengabaikan ibu bapa mereka."Apabila mekanisme ini dilaksanakan, sekurang-kurangnya orang tua ini ada sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan dan boleh digunakan untuk menanggung keperluan mereka yang dijaga di pusat jagaan."Kalau anak-anak enggan menjaga ibu bapa mereka, kami boleh menjaga dan merawat mereka dengan menggunakan duit yang dipotong menerusi akaun KWSP," katanya.Menurut Syafiq, anak-anak perlu dididik sejak mereka berada pada peringkat persekolahan lagi dengan mewujudkan silibus khusus berkaitan tanggungjawab kepada ibubapa dan pengurusan berkesan menjaga warga emas yang sakit dalam sistem pendidikan."Ini antara perkara paling asas dan pada pendapat saya pendidikan tentang kesedaran menjaga orang tua ini masih kurang. Sedangkan kita menuju ke arah negara Malaysia menua 2030, tapi kita seolah-olah tak bersedia apabila banyak kes warga emas terabai."Mungkin ada yang memandang remeh isu ini dimasukkan dalam sistem pendidikan. Namun inilah yang memberi impak besar kepada generasi akan datang agar dapat menunaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa."Dalam sebulan, pusat jagaan saya menerima 50 permohonan untuk letak warga emas di bawah jagaan kami tapi kami tidak mampu mengambil kesemuanya kerana pelbagai faktor termasuklah soal kewangan," jelasnya.