Stor rahsia simpan barang tiruan di Jalan Petaling terbongkar

KUALA LUMPUR - Tindakan ubah suai premis dengan pembahagian partition lengkap berserta kamera litar tertutup (CCTV) sebelum disewa sebagai stor menyembunyikan barang tiruan di Jalan Petaling di sini terbongkar pada Khamis.Serbuan bermula jam 5 petang itu dijalankan sepasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur hasil risikan selama satu minggu.Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati setiap 'partition' atau bilik kecil yang menyimpan barangan disyaki tiruan berlainan jenis termasuklah kasut, jersi dan jam tangan.Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, kira-kira 7,000 unit pelbagai barangan tiruan bernilai RM700,000 dirampas dalam serbuan dengan kerjasama pemilik cap dagang.Katanya, lima premis telah diserbu melibatkan dua stor simpanan dan tiga gerai."Hasil pemeriksaan, kita menemukan pelbagai barangan seperti beg tangan, tali pinggang, jersi dan kasut disyaki menggunakan cap dagangan palsu."Empat individu membabitkan dua Bangladesh dan dua tempatan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun disyaki pekerja turut ditahan untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita selepas operasi terbabit di sini pada Khamis.Mohd Shahran berkata, siasatan awal mendapati barangan tiruan terbabit dibekalkan kepada peniaga sekitar Lembah Klang dan turut dijual secara dalam talian dengan harga antara RM40 hingga RM300 seunit.Tambahnya, barangan tiruan itu dipercayai diperoleh dari luar negara berdasarkan kepada pembungkusan serta gred tertentu.Jelasnya, siasatan awal turut mendapati stor simpanan terbabit dipercayai telah beroperasi antara dua hingga tiga bulan."Kita akan siasat lanjut termasuk mengenal pasti harga sewaan serta pemilik premis tersebut," ujarnya.Dalam pada itu, beliau berkata, Op Putra yang dijalankan di Jalan Petaling sejak tahun 2023 merekodkan 49 kes dengan nilai sitaan RM2.3 juta, manakala bagi tempoh tahun ini sahaja mencatatkan 24 kes dengan nilai sitaan RM1.2 juta.Tegasnya, KPDN Kuala Lumpur tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang dan peniaga dinasihat agar mematuhi segala perundangan yang ditetapkan.Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.