Bawa kereta mewah tapi tiada cukai jalan

SEREMBAN – Mampu memandu kereta mewah bernilai ratusan ribu hingga jutaan ringgit, namun culas memperbaharui cukai jalan dan insurans.Itu sikap segelintir pemilik kenderaan mewah yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dalam operasi diadakan sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusof berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 10 kenderaan mewah yang disita antaranya Porsche Taycan, Toyota Alphard dan Mini Cooper dan Countryman."Kita dapati antara alasan diberikan oleh pemilik kenderaan ini adalah 'lupa' yang mana saya nak tegaskan alasan sebegini tidak boleh diterima kerana melibatkan isu keselamatan dan kepatuhan undang-undang."Pemeriksaan mendapati mereka tidak memperbaharui cukai jalan dalam tempoh setahun hingga dua tahun dan ia tidak sepatutnya berlaku," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Jumaat.Menurutnya, dua daripada pemilik kenderaan mewah yang disita merupakan ahli perniagaan berusia lingkungan 30-an.Tegas beliau, pihaknya memandang serius perkara itu kerana boleh menimbulkan risiko besar kepada keselamatan awam, terutamanya jika kenderaan tersebut tidak mempunyai perlindungan insurans."Jika kenderaan tersebut terbabit kemalangan ia akan menyusahkan orang lain yang berdepan kesukaran untuk membuat pampasan dan tanggungan kos kemalangan," katanya.Selain itu katanya, berdasarkan rekod penguatkuasaan JPJ Negeri Sembilan bagi tempoh Januari sehingga Julai 2025, sebanyak 10,435 kesalahan dikesan melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan 7,891 kes tiada perlindungan insurans yang telah dikenakan tindakan sitaan."Kesalahan-kesalahan utama yang membawa kepada tindakan sitaan ini adalah Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menggunakan kenderaan tanpa LKM yang sah, Seksyen 26(1) APJ 1987 memandu kenderaan tanpa lesen memandu kompeten dan lesen memandu percubaan yang sah serta Seksyen 91 APJ 1987 tiada perlindungan insurans yang sah bagi kenderaan bermotor," katanya.Justeru, beliau berkata, JPJ Negeri Sembilan menyeru semua pemilik dan juga pemandu untuk sentiasa bertanggungjawab memastikan dokumen kenderaan dan lesen memandu berada dalam keadaan yang sah dan dikemas kini.