Cuba seludup bunga ganja guna bungkusan teh, makanan ringan

SEPANG - Taktik sorok bunga ganja dalam bungkusan makanan ringan dan teh dibongkar susulan penahanan sebuah van perdagangan di Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini 18 Julai lalu.Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, operasi dijalankan Cawangan Eksport Bahagian Perkastaman JKDM KLIA bersama-sama anggota Operasi Bahagian Penguatkuasaan.Menurutnya, van perdagangan tersebut disahkan membawa dagangan 'consolidate' untuk tujuan ke salah sebuah negara Eropah yang dijadualkan berlepas pada 21 Julai lalu."Hasil pemeriksaan menjumpai sembilan kotak dagangan disyaki mengandungi bunga ganja seberat 21.22 kilogram bernilai lebih RM1.80 juta."Modus operandi digunakan ialah menyembunyikan dadah dalam plastik kedap udara pelbagai bungkusan makanan ringan dan juga bungkusan teh bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.Dalam kes berlainan, Bahagian Penguatkuasaan Kastam menyerbu sebuah gudang di Puchong, Selangor pada 10 Julai lalu dan merampas 50,738.40 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai melebihi RM2.03 juta termasuk duti dan cukai.Tambah Zulkifli, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnyadadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dalam aktiviti tersebut."Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat."Orang ramai diseru untuk memberikan kerjasama kepada JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan juga lain- lain barangan seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri," ujarnya.