ALOR SETAR - Empat lelaki direman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan kematian seorang koperal polis yang maut dalam kejadian dirempuh sebuah kereta di Taman Golf di sini pada petang Khamis.Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali membenarkan perintah reman berkenaan kepada suspek berusia 24 hingga 26 tahun itu hingga 14 Ogos ini.Reman dikeluarkan bagi membantu siasatan di bawah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, seorang anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah maut selepas dirempuh suspek kes pecah rumah ketika menjalankan tugas.Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah kenderaan jenis Lexus yang dipandu suspek ketika cuba melarikan diri.Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang selepas pihaknya menerima maklumat awam berhubung aktiviti mencurigakan di sebuah rumah di kawasan berkenaan.Siasatan awal mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai 77 rekod jenayah lampau, kebanyakannya membabitkan kes pecah rumah dan curi kenderaan.