Anggota polis maut dirempuh penjenayah: Kerajaan jamin kebajikan keluarga Koperal Hafizul Izham

SHAH ALAM - Kerajaan memberi jaminan kebajikan keluarga Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan yang maut ketika menjalankan tugas akan diberi perhatian sepenuhnya.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasition Ismail berkata, pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan segala urusan termasuk pembayaran gratuiti, ex-gratia, ganjaran dan sumbangan kepada waris Allahyarham disalurkan dengan segera."Pengurusan jenazah dan pengebumian Allahyarham juga akan diuruskan oleh PDRM dengan penuh penghormatan sewajarnya dengan jasa bakti beliau kepada negara."Saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham atas khidmat bakti beliau yang tidak ternilai."Terima kasih juga kepada seluruh warga PDRM atas semangat setia dan pengorbanan mereka yang tidak pernah luntur dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.Mohd Hafizul Izham, 35, yang merupakan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dilaporkan maut selepas dirempuh suspek kes pecah rumah ketika menjalankan tugas di Taman Golf, pada Khamis.Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah kenderaan jenis Lexus yang dipandu suspek ketika cuba melarikan diri.Dalam pada itu, Saifuddin turut menyifatkan Allahyarham cerminan keberanian dan semangat juang tinggi seorang anggota barisan hadapan yang menjaga keselamatan dalam negara."Tindakan beliau yang tidak gentar berdepan risiko demi memastikan keselamatan awam terpelihara adalah sesuatu yang amat kami hargai dan sanjungi."Pengorbanan seperti ini menjadi inspirasi kepada semua barisan anggota keselamatan negara dan mencerminkan nilai-nilai luhur dalam perkhidmatan PDRM," ujarnya.