Amir Hariri lepas bebas kes perhimpunan kapal tempur LCS

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abd Hadi dilepaskan dan dibebaskan Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas pertuduhan gagal memaklumkan kepada pegawai polis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan 'Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’, pada Ogos 2022.Majistret, Farah Nabihah Muhamad Dan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan, memohon kes terhadap Amir Hariri, 34, ditarik balik."Setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, perintah keputusan daripada Mahkamah Persekutuan dan juga mengambil maklum mengenai fakta bahawa kes telah dihantar semula daripada Mahkamah Tinggi dan diturunkan untuk saya membuat keputusan."Pihak pendakwaan juga setakat ini belum menerima arahan untuk mendakwa semula tertuduh."Susulan itu mahkamah memberikan perintah agar tertuduh dilepaskan dan dibebaskan, wang jaminan dikembalikan," kata Majistret.Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad berkata, permohonan dibuat kerana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan Pada 1 Julai lalu.Pada prosiding itu, Amir Hariri yang memakai baju berkolar warna hitam, hadir dengan diwakili peguam, Rajsurian Pillai.Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Seksyen 9(5) akta itu, yang memperuntukkan hukuman terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari lebih awal kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan, adalah tidak berperlembagaan.Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim berkata, memutuskan demikian kerana seksyen berkenaan tidak konsisten dengan Perkara 10(2)(b) yang dibaca bersama Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.Mahkamah kemudiannya memerintahkan kes Amir Hariri itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk diselesaikan secara adil dan segera.Pada 26 Ogos 2022, Amir Hariri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan selaku penganjur perhimpunan gagal mengemukakan notis kepada polis sekurang-kurangnya lima hari sebelum perhimpunan diadakan.Kesalahan didakwa berlaku di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada jam 2 petang, 14 Ogos lalu.Dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.Pada 14 Ogos 2022, media melaporkan, satu perhimpunan dikenali sebagai #ManaKapalLCS diadakan di luar kompleks beli-belah Sogo dan disertai kira-kira 200 peserta.Tiga hari kemudian, polis menyoal Amir Hariri dan 12 individu lain yang menyampaikan ucapan semasa perhimpunan itu berlangsung.Ia susulan pendedahan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) laporan isu perolehan LCS kepada umum awal bulan ini.