'Arwah anak yang baik, dari kecil nak jadi polis' - Ibu Koperal Hafizul

SETIU – Minat mendalam terhadap kerjaya polis sejak di bangku sekolah menjadi pendorong Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan untuk berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga akhir hayatnya.Anak ketiga daripada tujuh beradik itu mula berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) sejak 15 tahun lalu dan dikenali sebagai seorang anggota yang komited serta berdedikasi.Ibunya, Maznah Ismail, 64, berkata, arwah telah menanam impian untuk menjadi anggota polis sejak kecil dan terus berazam untuk mencapai cita-cita itu."Arwah anak yang baik, tak pernah melawan kata. Dari kecil dia cakap nak jadi polis dan saya bersyukur kerana dia berjaya capai cita-cita itu."Saya juga reda, arwah meninggal dunia ketika bertugas dan sedang berbakti kepada masyarakat," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pak Kancil, di sini, pada Jumaat.Maznah berkata, pertemuan pada Sabtu lalu merupakan yang terakhir selepas arwah sempat singgah sebentar di rumahnya di sini kerana tugasan."Masa jumpa arwah hari tu dia nampak sedikit pelik sebab kurang bercakap. Dia juga ada minta nak makan nasi minyak, tapi saya tak sempat sediakan kerana kekangan masa."Saya rasa terkilan pula sebab tak sempat masak nasi minyak yang menjadi kegemaran arwah," katanya.Mengulas mengenai insiden menimpa anaknya itu, Maznah berkata, ketika kejadian, dia dan suami, Mazlan Umar, 64 berada di Tol Gombak untuk ke Shah Alam dan bergegas pulang ke Terengganu sebaik menerima khabar duka itu.Sementara itu, ayah Allahyarham, Mazlan Umar, 64, berkata, dia dan isteri terkejut apabila menerima panggilan menyatakan anak mereka telah meninggal dunia ketika bertugas."Dalam jam 4 petang tu menantu hubungi isteri saya bagitahu arwah meninggal tetapi tidak menceritakan insiden sebenar."Arwah seorang anggota polis yang bertugas di bahagian jenayah. Sebagai bekas anggota polis, saya juga tidak dapat menolak pelbagai risiko yang terpaksa dihadapi arwah sewaktu menjalankan tugas," katanya.Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 3.30 petang pada Khamis selepas dirempuh kenderaan dinaiki empat penjenayah yang cuba melarikan diri daripada ditahan berhampiran Taman Golf, Alor Setar, Kedah.Dalam insiden itu, arwah yang sedang menjalankan tugas cuba menghalang suspek kes pecah rumah daripada melarikan diri sebelum dirempuh dan meninggal dunia di lokasi kejadian.Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di kediaman keluarganya di sini kira-kira jam 8.40 pagi sebelum disolatkan di Masjid Kampung Pak Kancil jam 9.15 pagi.Jenazah kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pak Kancil pada jam 10.20 pagi dengan istiadat pengebumian kepahlawanan PDRM.Istiaadat penuh penghormatan itu dihadiri Ketua Polis Terengganu, Datuk Khairi Khairudin yang turut menyerahkan bendera Sang Saka Biru kepada bapa Allahyarham sebagai tanda penghormatan terakhir.Lebih 300 hadir ketika pengebumian termasuk ahli keluarga, rakan sekerja dan penduduk kampung turut mengiringi perjalanan terakhir wira negara itu.