Kes IS: Tiada jurubahasa, pertuduhan 2 lelaki Bangladesh ditangguh

JOHOR BAHRU - Pertuduhan terhadap dua lelaki warga Bangladesh dalam kes berkait dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS) yang sepatutnya dibacakan di Mahkamah Sesyen pada Jumaat, ditangguhkan berikutan ketiadaan jurubahasa Bangladesh.Penangguhan itu diputuskan selepas tertuduh Mohammad Afsar Bhuiyan, 30, dan Md Rafiqul Islam, 35, difahamkan tidak memahami Bahasa Melayu dan Inggeris.Sehubungan itu, Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menetapkan 12 September ini sebagai tarikh sebutan semula untuk kehadiran jurubahasa serta pembacaan pertuduhan.Difahamkan tertuduh, Mohammad Afsar akan berdepan dua pertuduhan, manakala Md Rafiqul berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana dipercayai memiliki telefon bimbit yang mengandungi item berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) di Gelang Patah, Jun lalu.Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda, serta perintah rampasan mana-mana harta yang digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan.Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail.Sebelum itu, kedua-dua tertuduh tiba di pekarangan mahkamah pada 8.30 pagi dengan kawalan ketat anggota polis.Pada 4 Julai lalu, media melaporkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mendedahkan Kumpulan militan asing, Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB), dikesan menyebarkan fahaman ekstrem dalam kalangan warga Bangladesh yang memasuki negara ini secara sah untuk bekerja, sebelum merekrut mereka menyertai kegiatan berkaitan keganasan.Beliau berkata kumpulan itu didapati mula menyebarkan ideologi kumpulan pengganas Islamic State (IS) kepada komuniti migran, terutama warga Bangladesh, melalui platform media sosial dan aplikasi pesanan.Mohd Khalid berkata, siasatan awal bermula selepas polis mengesan beberapa akaun Facebook aktif menyebarkan propaganda IS.Katanya, hasil semakan menunjukkan akaun terbabit menggunakan alamat IP dari Malaysia dan dikendalikan oleh warga Bangladesh yang bekerja di negara ini.Susulan itu, beliau berkata, operasi keselamatan bersepadu dilaksanakan secara berperingkat sejak April lalu yang membawa kepada penahanan enam individu di sekitar Selangor pada 28 April."Hasil soal siasat turut mendedahkan kewujudan GMRB yang berpangkalan di Johor. Sehubungan itu, tiga fasa operasi dilaksanakan bermula 28 April lalu."Pada 7 Mei lalu, 14 individu termasuk ketua kumpulan itu ditahan di Johor, manakala 16 lagi ditahan antara 19 hingga 21 Jun lalu. Jumlah keseluruhan tangkapan ialah 36 individu," katanya.