'Saya maafkan dia tapi tetap akan ambil tindakan'

SEREMBAN - Luluh hati seorang Ibu apabila melihat badan anaknya yang baru berusia enam tahun dipenuhi kecederaan akibat dilanggar van sekolah ketika dihantar ke rumah pengasuh di Taman Mantau Indah di sini pada Isnin laluMenurut Siti Zarina Abd Zarim,39, anaknya kini dirawat di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur dan baru selesai menjalani pembedahan pada bahagian kepala."Anak saya alami luka pada muka, kepala, kaki, tangan dan bahagian belakang badan."Saya masih lagi terkejut dengan kejadian berlaku dan tidak pasti sangat mengenai tahap kecederaannya, tapi bersyukur kerana dia berada dalam keadaan sedar," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Ujar Ibu kepada tiga anak itu dia mendapat tahu mengenai kejadian terbabit selepas dihubungi pengasuh anaknya kira-kira jam 12 tengah hari pada hari kejadian.Dia yang ketika itu dalam perjalanan ke sebuah hospital swasta di sini untuk temu janji terus bergegas pulang."Pengasuh anak hubungi dan maklumkan anak saya dilangggar van sekolah yang hantarnya pulang."Saya kemudian terus bergegas ke rumah pengasuh, tapi bila sampai anak saya telah pun dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dan apabila sampai di wad kecemasan, luluh hati saya tengok banyak luka pada badannya," katanya.Selain itu Siti Zarina berkata, perkhidmatan van sekolah berkenaan telah digunakan olehnya sejak anak sulung berusia tujuh tahun.Bagaimanapun katanya, kejadian kecuaian seumpama itu pertama kali berlaku."Pemandu van telah berjumpa saya dan memohon maaf atas kejadian berlaku."Saya maafkan dia, tapi mestilah saya akan ambil tindakan atas apa yang terjadi pada anak supaya dapat memberi pengajaran bukan saja kepada pemandu van sekolah anak tapi orang lain juga," katanya.Sementara itu, bapa saudara kanak-kanak itu, Inspektor Mohamad Nor Nidzam Mohamad Zin berkata, pihak keluarga mahu polis melakukan siasatan secara telus bagi memberikan keadilan kepada mangsa."Kejadian ini dirakam kamera litar tertutup (CCTV), pihak polis boleh semaknya. Kami mahukan keadilan dan bukannya sekadar mengambil tindakan saman terhadap pemandu van," katanya yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera selepas dilanggar van sekolah yang menurunkannya di hadapan rumah pengasuh Taman Mantau Indah 3.