KUALA LUMPUR - Siasatan mendapati syarikat yang didakwa mempunyai akses kepada dana emas dan tunai bernilai billion ringgit di luar negara didapati tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima 43 laporan polis sejak 2023 dan sebanyak 15 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan."Setakat ini, kita telah merakam 40 keterangan membabitkan 37 mangsa dan tiga saksi bagi siasatan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Jumaat.Rusdi berkata, pelabur dijanjikan pulangan tinggi apabila dana berkenaan berjaya dicairkan selepas modal mencukupi dapat dikumpul bagi menampung kos pengurusan dan pengaktifan."Pelabur dipengaruhi oleh individu juga dalang utama menyamar sebagai Datuk Seri menceritakan pewarisan harta milik seseorang warga Indonesia di luar negara."Semakan lanjut mendapati gelaran Datuk Seri digunakan individu terbabit adalah palsu," katanya.Jelasnya, pelabur turut diperdaya melalui dokumen palsu kononnya dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang lengkap dengan logo, cap dan tandatangan palsu bertujuan untuk menyakinkan pelabur bahawa pelaburan itu sah."Siasatan masih dijalankan bagi mendapatkan pengesahan daripada pihak BNM berkenaan dokumen itu."Sehingga kini tiada dana atau pulangan wang yang diterima oleh pelabur sebaliknya pelbagai alasan diberikan termasuk masalah teknikal di luar negara dan dokumen tamat tempoh," ujarnya.Menurutnya, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes masih dalam siasatan lanjut.Pada Selasa lalu, media melaporkan seramai 57 individu mengalami kerugian hampir RM8.4 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tahyul membabitkan dana emas dan tunai didakwa bernilai puluhan bilion dolar Amerika Syarikat (AS) di luar negara.Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, kesemua individu terbabit adalah mangsa penipuan sebuah syarikat dimiliki seorang lelaki tempatan didakwa mempunyai gelaran Datuk Seri berusia 60-an.