Dua jurujual didakwa rompak wanita China RM2.1 juta

KUALA LUMPUR – Dua jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan merompak wanita China mencecah RM2.1 juta, bulan lalu.Mohd Syaqir Mohd Ami, 30 dan Nur Mohamed Mahsar Mohamed Nor, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Siti Shakirah Mohtarudin.Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dua individu yang masih bebas, melakukan rompakan berkumpulan milik wanita warga China, Chen Kexue, 31.Ia membabitkan satu jam tangan jenama Richard Mille RM1.2 juta, tiga jongkong emas seberat 300gram, wang RM100,000 dan lima telefon bimbit pelbagai jenama dan anggaran kerugian keseluruhan berjumlah RM2.146 juta.Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah vila di Bukit Damansara, di sini pada jam 10.10 malam, 21 Julai.Pertuduhan dibuat Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuan Abdul Latif tidak mencadangkan dua tertuduh ini diberi ikat jamin kerana kes berkenaan termasuk dalam kesalahan yang serius.Menurutnya, pendakwaan memohon mahkamah mengambil kira kerugian dialami mangsa, yang mencecah jutaan ringgit."Dua lagi suspek dalam kes ini masih bebas dan tidak dapat dikesan, maka jika mahkamah memberikan jaminan, ia mengundang risiko melarikan diri."Jika mahkamah mahu memberikan jaminan, saya mohon setiap tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM60,000."Ini kerana ketika ditahan, salah seorang daripadanya cuba melarikan diri," kata yang turut menambah supaya tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan.Bagaimanapun, peguam, Hazwan Hassan yang mewakili kedua-dua lelaki itu, merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana Mohd Syaqir bakal berkahwin hujung tahun ini, selain perlu menyara ibunya yang mempunyai penyakit barah payudara tahap empat."Mohd Syaqir juga mengalami sakit tulang belakang dan kaki selepas terlibat dalam kemalangan tahun lalu."Nur Mohamed Mahsar pula mempunyai penyakit di lutut, perlu menyara isteri yang juga suri rumah, bersama dua anak yang masih kecil," katanya.Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret, Siti Shakirah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.Mahkamah menetapkan 30 September depan untuk sebutan semula kes.