HASRAT juara bertahan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam untuk mempertahankan kejuaraan dalam Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18) 2025 berkecai apabila tumpas kebangkitan SMK Taman Tasik dalam aksi Pusingan 16 pada Isnin.Perlawanan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), SMK Taman Tasik mempamerkan aksi bertenaga apabila bangkit ketinggalan dua jaringan awal untuk mencatat kemenangan 3-2, sekali gus menyingkirkan juara Piala Sumbangsih itu dari saingan kali ini.Sementara itu, pengurus SMK Taman Tasik, Raja Hazmi Raja Abdullah menyifatkan semangat juang pemain sebagai kunci kejayaan menundukkan juara bertahan, SMK Shah Alam dalam aksi penuh dramatik.Raja Hazmi bagaimanapun mengakui pasukannya agak bergelut pada awal permainan apabila dibolosi dengan dua jaringan mudah seawal 10 minit pertama, namun pantas memperkemas rentak sebelum menyamakan kedudukan menjelang rehat."Dua gol awal itu menyentak kami. Pemain kemudian menutup ruang serangan lawan terutama di bahagian tengah yang banyak digerakkan menerusi kelajuan sayap kiri mereka (Vincenzo Oliveo D'dozzel). Syukur, separuh masa pertama kami menyumbat satu gol sebelum menuju ke bilik persalinan," katanya.Menurutnya, babak kedua menjadi penentu apabila pasukan berpusat di Ampang itu menukar strategi dengan menggunakan tiga pertahanan sambil mengukuhkan bahagian tengah untuk membuka ruang serangan balas."Alhamdulillah, strategi itu menjadi biarpun SMK Shah Alam mencipta banyak percubaan berbahaya, kami berjaya meningkat disiplin bertahan dan memanfaatkan peluang serangan balas untuk menambah dua lagi gol," katanya.Mengulas bagaimana anak buahnya mengekalkan fokus hingga ke wisel penamat, Raja Hazmi menegaskan suntikan motivasi daripada sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Altimet membakar semangat pemain untuk terus bertahan."Fokus pemain dalam perlawanan ini bukan sahaja untuk sekolah, tetapi juga untuk ibu bapa yang hadir memberi sokongan. Saya ingatkan mereka supaya kekal berlari hingga wisel penamat dan akhirnya kita keluar dengan kemenangan tipis yang cukup bermakna," katanya yang juga pengendali pasukan.Dalam satu lagi aksi menarik, naib juara Piala Sumbangsih, SMK Dato’ Harun tidak berdepan masalah untuk mara ke peringkat seterusnya apabila menewaskan SMK Taman Dato’ Harun 3-1 di Padang SMK Sri Permata, Petaling Jaya.Sementara itu, satu lagi pasukan pilihan, SMK Meru gah mara suku akhir selepas membenam SMK Kuala Kubu Bharu dengan jaringan besar 4-0 dalam perlawanan di Padang JSA Arena.SMK Seksyen 19 Shah Alam turut mengesahkan tempat lapan terbaik selepas menundukkan SMK Bandar Rinching 3-1 dalam aksi di Padang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).Dalam perlawanan yang berlangsung di Padang Awam Sungai Buaya, Banting, SMK Telok Panglima Garang memastikan kemaraan mereka dengan kemenangan 3-1 ke atas SMK Tinggi Klang.Aksi dramatik turut disaksikan di Eco Grandeur, Puncak Alam apabila pertembungan antara SMK Bandar Tasik Puteri dan SMK Darul Ehsan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang perlawanan.SMK Bandar Tasik Puteri tenang menyempurnakan sepakan dan meraih kemenangan 4-2 untuk layak ke peringkat seterusnya.Dalam aksi di Arena Sukan Azman Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), SMK Jalan Reko mengetepikan cabaran SMK Subang Jaya dengan keputusan 3-2, sekali gus menyertai senarai pasukan mara.Melengkapkan senarai lapan pasukan mara, SMK Bandar Saujana Putra mudah menjinakkan SAMT Sultan Hisamuddin 4-1 di Padang Mahsa University.Kejohanan ini mendapat sokongan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad selaku penaja utama manakala Sinar Harian sebagai media rasmi. PIALA DATUK MOKHTAR DAHARI B-18SUKU AKHIRRABU (3 SEPTEMBER)SMK Telok Panglima Garang lwn SMK Bandar Tasik Puteri (Padang MBSA Seksyen 28, 3. 30 petang)SMK Meru lwn SMK Jalan Reko (Arena 26, Shah Alam, 3.30 petang)SMK Bandar Saujana Putra lwn SMK Dato' Harun (Padang MBSA, Seksyen 28, Shah Alam)SMK Seksyen 19 lwn SMK Taman Tasik (Arena 26, Shah Alam, 3.30 petang)