Speedy Tigers 'amuk' Taiwan

SKUAD hoki lelaki negara, The Speedy Tigers, menutup kempen Kumpulan B Piala Asia 2025 dengan penuh bergaya selepas membelasah Taiwan 15-0 dalam aksi terakhir di Stadium Kompleks Sukan Rajgir, India pada Isnin.Kemenangan bergaya itu memastikan anak buah Sarjit Singh melangkah ke pusingan Super Four dengan rekod bersih selepas turut menewaskan Bangladesh 4-1 dan Korea Selatan 4-1 dalam dua perlawanan terdahulu.Bintang perlawanan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook mencuri tumpuan apabila meledak lima gol, manakala Mohamad Ashran Hamsani turut menyerlah dengan empat jaringan.Sementara itu, Norsyafiq Sumantri mencatat hatrik, selain tiga lagi jaringan disumbangkan oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Andywalfian Jeffrynus dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi masing-masing dengan satu gol.Malaysia akan ditemani Korea Selatan selaku naib juara Kumpulan B untuk ke Super Four yang dijadual bermula Rabu ini bersama dua lagi wakil Kumpulan A iaitu India dan China.Pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh menegaskan, walaupun anak buahnya menunjukkan komitmen tinggi sepanjang tiga aksi peringkat kumpulan masih ada aspek permainan yang perlu dipertingkatkan."Esok kita akan turun berlatih bagi memperkemaskan lagi persembahan. Kita perlu lebih tajam menyudahkan peluang selain memperkukuhkan benteng pertahanan," katanya.Sarjit turut mengingatkan cabaran lebih getir menanti kerana skuad negara bakal berdepan empat aksi dalam tempoh lima hari sepanjang saingan Super Four."Sasaran awal kita adalah berada dalam kelompok empat terbaik dan kini kita sudah berada di situ. Namun proses pemulihan sangat penting kerana ketika ini kita sudah ada dua hingga tiga pemain yang berdepan kecederaan," ujarnya.Sebagai rekod, juara Piala Asia 2025 akan mendapat tiket automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Belgium-Belanda.